Pemuda Bersatu (Armada) mengecam tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membelanjakan RM8.4 juta untuk membekalkan lencana Jalur Gemilang kepada 5.14 juta pelajar, sambil menggesa projek itu dihentikan serta-merta.
Exconya, Muhammad Ashraf Hayup Khan, menyifatkan perbelanjaan itu sebagai “pembaziran wang rakyat” yang tidak memberi nilai tambah kepada pendidikan atau semangat patriotisme.

“Patriotisme tidak lahir dari sekeping lencana. Ia lahir daripada kepimpinan yang amanah, guru yang ikhlas, dan pendidikan berkualiti.
“Anak-anak membesar meniru sikap ibu bapa di rumah, guru di sekolah, dan pemimpin di kementerian. Jika semua ini rosak, lencana berjuta ringgit pun tidak akan mampu menanam rasa cinta negara,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurutnya, KPM sepatutnya menyalurkan dana tersebut untuk memperbaiki kemudahan sekolah, memperkukuh modul pendidikan sivik, atau menambah guru kaunseling bagi membina sahsiah dan jati diri pelajar.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, hari ini memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa .
Kerajaan membelanjakan RM8.4 juta untuk memperoleh lencana Jalur Gemilang yang diedarkan kepada lebih 5.14 juta pelajar di seluruh negara.

Fadhlina berkata, peruntukan itu meliputi pelajar di sekolah, kolej matrikulasi, kolej Tingkatan Enam, dan institut pendidikan guru (IPG), dengan masing-masing menerima dua lencana secara percuma.
Mengulas lanjut, Ashraf turut mempersoalkan keutamaan KPM yang didakwa mengabaikan isu asas keselamatan, integriti dan kualiti pengajaran.
“Di sekolah agama sekalipun, keselamatan pelajar masih gagal dijaga. Bagaimana KPM boleh berbelanja jutaan ringgit untuk projek kosmetik sedangkan masalah asas belum selesai?” katanya.
Dia sehubungan itu, menuntut Fadhlina, membatalkan projek tersebut dan mengarahkan semula dana RM8.4 juta itu kepada program yang “benar-benar membina kualiti generasi muda, bukan sekadar pencitraan politik menjelang sambutan kemerdekaan.”

Sebelum ini dilaporkan bahawa pemakaian lencana Jalur Gemilang bermula pada 21 April lalu.
Ia adalah sebahagian daripada usaha Kementerian Pendidikan untuk menyemai semangat patriotisme dan cintakan negara dalam kalangan pelajar, selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013–2025.

