Nasib pekerja migran Bangladesh antara topik yang dibincangkan antara Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Ketua Penasihat Kerajaan Bangladesh, Muhammad Yunus, di Putrajaya hari ini.
Anwar, pada sidang media bersama Muhammad, berkata antara perkara yang dibincangkan dan dipersetujui ialah pelaksanaan kemudahan visa kemasukan berganda atau Multiple Entry Visa (MEV) ke Malaysia untuk warga Bangladesh.
Menyifatkan Bangladesh sebagai rakan penting bagi Malaysia, Anwar turut menghargai sumbangan pekerja negara itu dalam pelbagai sektor di negara ini.
“Pekerja Bangladesh telah memainkan peranan penting dalam membantu pembangunan negara.
“Kemudahan visa ini akan memberi peluang kepada mereka untuk pulang berjumpa keluarga dan kembali bekerja dengan rasa lebih terjamin,” kata Anwar tanpa menghuraikan lanjut mengenai perkara tersebut.
Sebelum ini dilaporkan bahawa lebih 480,000 pekerja Bangladesh memasuki Malaysia antara tahun 2022 hingga 2024 melalui agensi yang diluluskan.
Mengikut Jabatan Imigresen Malaysia, visa kemasukan berganda Malaysia membolehkan pemegangnya keluar masuk ke negara ini beberapa kali dalam tempoh sah visa, biasanya setahun, dengan setiap lawatan dihadkan kepada 30 hari dan tanpa lanjutan tempoh.
Selain pekerja Bangladesh yang bekerja di sini, Anwar turut menyebut cadangan Muhammad untuk membantu rakyatnya yang tiba di Malaysia atas janji palsu pekerjaan yang tidak wujud.
“Kerajaan Bangladesh telah mengemukakan beberapa cadangan, dan kami telah memberikan keutamaan khususnya untuk membantu pekerja yang terkandas,” kata Amwar.
Dalam ucapannya, Muhammad berkata Bangladesh menantikan sokongan Malaysia dalam pelbagai bidang menjelang pilihan raya umum negara itu pada Februari tahun depan – selepas kebangkitan belia menggulingkan bekas perdana menteri Sheikh Hasina.
Isu lain yang dibangkitkan pada pertemuan itu termasuk peluang Malaysia dan Bangladesh memperkukuh hubungan dalam perdagangan, pendidikan, industri halal, dan semikonduktor, serta peranan Malaysia sebagai pengerusi Asean untuk membantu Bangladesh menangani krisis pelarian Rohingya akibat konflik berterusan di Myanmar.
Lawatan rasmi Muhammad selama tiga hari bersama rombongan menteri diadakan susulan laporan media di kedua-dua negara yang mendedahkan urusan kerajaan berkaitan pengambilan pekerja.
Bulan lalu, Malaysiakini melaporkan Bangladesh bersetuju menghentikan siasatan terhadap dakwaan sindiket yang mengeksploitasi rakyatnya yang ingin bekerja di negara ini, atas permintaan kerajaan Malaysia.
Sejak itu, dilaporkan semalam bahawa ahli sindiket agensi pengambilan pekerja yang didakwa mengeksploitasi pasaran buruh Malaysia mungkin dibebaskan selepas pihak berkuasa Bangladesh membuat kesimpulan bahawa mereka tidak terlibat.

