malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Kastam India gagalkan cubaan seludup kura-kura ke Malaysia
Diterbitkan:  Aug 5, 2025 3:20 PM
Dikemaskini: 7:48 AM
ADS

Seorang penumpang India yang menuju ke Malaysia ditahan bersama 30 anak kura-kura Indian Star di Lapangan Terbang Antarabangsa Kempegowda, Bengaluru, di negeri Karnataka, India, pada Ahad.

Menurut dokumen rasmi yang dilihat oleh Malaysiakini, seorang lelaki berusia 29 tahun dikenali sebagai Ashik Ali Shahul Hameed ditahan oleh Unit Risikan Udara (AIU) Kastam India sebelum menaiki penerbangan Batik Air OD242 yang menuju ke KLIA.

Pihak berkuasa menemui haiwan reptilia itu di dalam bagasi daftar masuk miliknya, yang merupakan spesies disenaraikan di bawah Lampiran I Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Terancam (Cites), yang melarang perdagangan antarabangsa secara komersial.

Pihak berkuasa India telah menahan lelaki tersebut, manakala kura-kura berkenaan telah diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Karnataka untuk tujuan pemulihan.

Pada 16 Julai, pegawai AIU Kastam India berjaya menyelamatkan 403 ekor kura-kura Indian Star daripada dua penumpang yang juga menuju ke KLIA di Lapangan Terbang Antarabangsa Tiruchirappalli, di negeri Tamil Nadu.

Pegawainya memintas dua lelaki itu ketika mereka tiba di lapangan terbang untuk menaiki penerbangan Batik Air OD224, dan menemui reptilia tersebut di dalam bagasi mereka. Kedua-dua mereka kemudiannya ditahan, manakala haiwan yang diselamatkan diserahkan kepada Pejabat Perhutanan Trichy.

Pada 27 Jun, pihak berkuasa India menyelamatkan seekor monyet jenis squirrel monkey daripada seorang penumpang yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Tiruchirappalli dari KLIA melalui penerbangan Batik Air OD223.

Bertindak atas maklumat, pegawai AIU Kastam India memeriksa bagasi penumpang tersebut dan menemui haiwan itu disembunyikan dalam kotak yang mengandungi pakaian.

Pegawai perhutanan India memaklumkan bahawa squirrel monkey bukan haiwan asli India dan biasanya ditemui di Amerika Tengah dan Selatan. Ia disenaraikan di bawah Lampiran II Cites.

Penumpang berkenaan telah ditahan, manakala haiwan tersebut dihantar semula ke Malaysia.

Malaysia kini muncul sebagai hab transit utama untuk penyeludupan hidupan liar di Asia Tenggara, dan tergolong dalam 10 hab penyeludupan utama dunia, menurut Global Organised Crime Index.

Pada Jun tahun ini, KLIA dikenal pasti sebagai salah satu hab penyeludupan hidupan liar utama ke tiga lapangan terbang utama India, bersama sebuah lapangan terbang di Thailand yang turut mencatat rekod sama.

B

erdasarkan data yang diperoleh melalui Akta Hak Maklumat India, akhbar The New Indian Express melaporkan bahawa antara tahun 2024 hingga tahun ini, pegawai kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kempegowda telah melakukan 23 rampasan hidupan liar yang berasal dari Thailand dan Malaysia.

Penyeludupan hidupan liar merupakan satu jenayah terancang berskala global, yang didorong oleh permintaan untuk perubatan tradisional, haiwan eksotik sebagai peliharaan, barangan perhiasan dan aksesori, serta trofi pemburuan.

Perdagangan ini mengancam biodiversiti dan dikawal secara antarabangsa melalui Cites, yang Malaysia merupakan antara negara penandatangan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen