malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
LFL kecam AGC gugur kes Zamri, Firdaus Wong
Diterbitkan:  Jul 22, 2025 6:16 PM
Dikemaskini: 10:16 AM
ADS

Keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadap pendakwah kontroversi Zamri Vinoth dan Firdaus Wong dikecam Lawyers for Liberty (LFL), yang mendakwa kerajaan mengamalkan layanan dua darjat dan pendakwaan terpilih.

Pengarah LFL, Zaid Malek berkata maklum balas AGC itu "berbau dwi-standard dan pendakwaan terpilih.”

Sebagai perbandingan, Zaid mengimbas kembali kes tahun 2024 melibatkan Chiok Wai Loong berkaitan kenyataannya ketika kontroversi stokin bertulis “Allah” di KK-Mart, dengan tindakan terhadapnya diambil secara agresif dan pantas oleh pihak berkuasa.

“Dia ditahan, disabitkan kesalahan tanpa peguam bela dan dihumban ke dalam penjara.

"Semua ini berlaku dengan sangat pantas, dan dia masih berdepan perbicaraan atas tuduhan jenayah," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Menurut Zaid, pengarah filem Mentega Terbang juga didakwa atas alasan hanya kerana menghasilkan sebuah filem yang memaparkan seorang gadis Muslim bergelut dengan persoalan agamanya.

"Pengarah filem Mentega Terbang juga berdepan pertuduhan jenayah hanya kerana menghasilkan filem yang memaparkan seorang gadis Muslim bergelut dengan agamanya.

"Mereka mendakwa filem itu menghina Islam,” katanya.

Zaid menegaskan layanan terhadap Zamri dan Firdaus — yang sekian lama membuat kenyataan serius dan bersifat provokatif menyentuh hal agama dan hubungan kaum — adalah berbeza sama sekali.

“Tindakan pantas dan sensitif yang biasa diambil apabila Islam dirasakan dihina — seperti dalam kes-kes di atas — jelas sekali tidak kelihatan di sini.

"Apa lagi yang boleh disimpulkan jika bukan keputusan ini dibuat demi memuaskan hati sesetengah pengundi,” soalnya.

Zaid turut mempersoalkan bagaimana kes Zamri dan Firdaus boleh dianggap berbeza berbanding dua kes lain yang disebut.

Katanya, keputusan untuk tidak mendakwa mereka mencerminkan kegagalan kerajaan untuk memberikan layanan yang sama rata di sisi undang-undang — yang sekaligus mencabuli Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

Zaid juga memberi amaran tindakan tersebut menjejaskan integriti sistem keadilan jenayah negara dan keyakinan awam bahawa undang-undang akan dilaksanakan secara adil.

“Memandangkan kerajaan memutuskan untuk tidak meneruskan pendakwaan dalam kes-kes ini, adakah mereka kini akan menggugurkan pertuduhan terhadap Mentega Terbang dan Chiok?

"Kami mendesak mereka untuk berbuat demikian dengan segera,” katanya.

Dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said menjelaskan AGC membuat keputusan itu selepas menerima kertas siasatan daripada pihak polis.

Azalina berkata berdasarkan maklum balas daripada AGC, tidak cukup bukti untuk membuktikan elemen sesuatu kesalahan di bawah mana-mana peruntukan undang-undang bagi mendakwa kedua-dua individu berkenaan di mahkamah.

Namun begitu, Azalina menegaskan kes tersebut belum ditutup sepenuhnya. Tidak seperti kes sivil, kes jenayah tidak mempunyai had masa — dan sekiranya terdapat perkembangan baru, siasatan dan semakan semula boleh dilakukan.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen