malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Menjelang demo anti-Anwar, pemukiman MP perkukuh Madani'
ADS

Pertemuan strategik antara Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan lebih seratus ahli parlimen dan anggota pentadbiran Kerajaan Perpaduan baru-baru ini menjadi medan penting untuk memperkukuh solidariti dalam barisan kerajaan Madani.

Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata sesi pemukiman ini berjaya menyatukan pemimpin pelbagai latar belakang dalam semangat kerjasama dan perpaduan yang semakin utuh.

"Saya melihat bahawa ukhwah dan kebersamaan di antara kami semakin erat dan semakin utuh.

"Banyak perkara telah dibangkitkan dan dibincangkan, yang mungkin menjadi titik perbezaan, dan dalam banyak hal, akan terus menjadi titik perbezaan," katanya kepada Malaysiakini.

Dia turut memberikan peringatan kepada mana-mana pihak yang berhasrat menggugat kestabilan kerajaan:

"Bagi yang cuba untuk ganggu-gugat Kerajaan Madani - nasihat saya, lupakan sahaja niat anda kerana kami mengakhiri pemukiman ini dengan semangat baru.

"Bukan hanya untuk mempertahankan kerajaan ini, tetapi juga untuk menguatkan lagi hubungan dan kerjasama di antara kami, parti-parti dan ahli-ahli parlimen kerajaan Madani," katanya.

Syahredzan turut memaklumkan perdana menteri menekankan kepentingan perpaduan serta memberi penjelasan berkenaan isu-isu semasa yang dibangkitkan dalam pentadbiran.

Sabtu ini, PAS dan PN mengajak orang ramai berhimpun menyertai suatu demonstrasi menuntut peletakan jawatan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Himpunan itu dijangka bermula jam dua petang pada Sabtu ini, dan merupakan kemuncak kepada siri himpunan kecil anjuran PAS dan PN bagi mendesak Anwar letak jawatan.

Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) hari ini membangkitkan aspek “tanggungjawab moral dan agama” dalam menggesa penyokong pembangkan menyertai himpunan berkenaan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan turut berkongsi sesi pemukiman ahli parlimen kerajaan tersebut menjadi ruang penting untuk menangani isu-isu dalam kerajaan secara dalaman.

"Pertemuan membincang isu biasa yang dibangkitkan dalam kerajaan perpaduan dan Perdana Menteri mengambil kesempatan untuk memberikan penjelasan.

"Perdana menteri mahu kerajaan perpaduan diperkukuhkan lagi, semua diminta berada atas jalur sama kerana kita sedar kerajaan ini ditubuh daripada latar belakang yang berbeza," katanya

Mengulas lanjut, Mohd Sany menekankan sebarang masalah perlu disalurkan secara tertutup dan bukannya diperbesar hingga menjejaskan imej kerajaan.

"Jika ada masalah salurkan secara dalam bukannya menimbulkan siasatan yang boleh merugikan kerajaan.

"Pintu rundingan sentiasa terbuka apa sahaja isu berbangkit boleh diselesaikan secara rundingan," katanya lagi.

Dalam pada itu, Mohd Sany menegaskan Anwar bukan sahaja mahu kerajaan terus stabil, tetapi kekal dalam suasana yang harmoni dan inklusif.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen