Amanah Johor hari ini menyatakan kesediaan parti itu untuk bertanding semula di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Skudai yang kini disandang wakil rakyat BN, Pandak Ahmad.
Ketua Amanah Iskandar Puteri, Dzulkefly Ahmad, berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat agung tahunan kawasan berkenaan, sekali gus mereka berhasrat mengulangi percubaan sama dalam pilihan raya negeri (PRN) lalu.
Menurut Dzulkefly, satu lagi kerusi kerusi DUN di bawah Parlimen Iskandar Puteri iaitu DUN Skudai juga wajar ditandingi PH secara solo.
"Ini merupakan bukti komitmen dan kesungguhan Amanah dalam memperkukuh kekuatan PH di kawasan strategik ini demi memastikan kesinambungan pentadbiran progresif dan inklusif untuk rakyat.
"Amanah Iskandar Puteri juga menyatakan bahawa sebarang rundingan politik ke arah PRN Johor yang akan datang haruslah mengambil kira kekuatan akar umbi serta prestasi calon dan parti di kawasan masing-masing," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Pada PRN Johor 2022, Pandak menewaskan empat calon lain termasuk Dzulkefly yang mewakili PH ketika itu.
Kerusi Skudai pula dimenangani calon PH, Marina Ibrahim, yang menewaskan calon BN dan PN.
Dzulkefly juga berkata, Amanah bersedia untuk berhadapan sebarang kemungkinan termasuk pertandinagn tiga penjuru sekiranya perlu.
Katanya, langkah itu sebagai membawa agenda perpaduan rakyat, reformasi institusi dan pembangunan mampan.
"Pendirian ini dibuat atas semangat memperkukuhkan PH dan memastikan rakyat Johor terus mendapat pilihan terbaik dalam menilai parti dan calon yang berwibawa, berprinsip serta berpaksikan kepentingan rakyat, bukan agenda sempit politik kuasa," katanya yang juga Timbalan Pengerusi Amanah Johor.
Dalam perkembangan berkaitan, Umno Iskandar Puteri pula menegaskan betapa mereka tidak gentar dengan sebarang percaturan politik Amanah mahupun PH.
Membalas kenyataan Dzulkefly, Penerangan Umno Iskandar Puteri berkata, apa jua bentuk pertandingan sama ada dua penjuru atau tiga penjuru - mereka akan hadapi dengan penuh keyakinan.
"Umno kekal komited memperkukuh kestabilan politik Johor khusunya di kawasan strategik Kota Iskandar agar kesinambungan pembangunan dan kesejahteraan rakyat terus terjamin.
"Rundingan dan keputusan pembahagian kerusi adalah hak kepimpinan tertinggi parti dan gabungan, bukan ditentukan oleh kehendak mana-mana pihak di peringkat kawasan," katanya.
Tegas Umno Bahagian Iskandar Puteri lagi, wakil rakyat BN di DUN Kota Iskandar yang diwakili Umno akan terus membawa suara rakyat hingga tamat penggal, tanpa terganggu dengan retorik politik Amanah.
"Jika Amanah memilih untuk memecah undi sesama mereka, Umno melihat ini sebagai bukti kelemahan PH yang gagal mengurus kesefahaman dalaman.
“Rakyat akan menilai siapa yang benar-benar menjaga kepentingan mereka, dan siapa yang sekadar mengejar kuasa," kata kenyataan itu lagi.

