malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pengumuman esok tanda keprihatinan kerajaan, kata Anwar
Diterbitkan:  Jul 22, 2025 3:54 PM
Dikemaskini: 7:54 AM
ADS

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyifatkan pengumuman yang akan dilakukannya esok adalah suatu penghargaan buat seluruh rakyat Malaysia daripada kerajaan Madani.

Mula diuar-uarkan pada minggu lalu sebagai sesuatu yang "luar biasa" Anwar hari ini menyatakan tanda tanya itu akan terjawab pada jam 10.30 pagi esok.

"Insya-Allah, esok saya akan umumkan penghargaan yang dijanjikan sebagai tanda keprihatinan kerajaan Madani kepada rakyat Malaysia yang sentiasa teguh bersama dalam setiap langkah reformasi.

"Moga pengumuman ini membawa manfaat buat rakyat terbanyak, dan menjadi cerminan usaha kita bersama untuk membina masa depan yang lebih adil dan sejahtera," katanya di media sosial petang ini.

Ia berlaku di tengah tekanan politik yang semakin meningkat serta lebih intensif terhadap prestasi reformasi kerajaan.

"Penghormatan" itu akan didedahkan kira-kira 72 jam sebelum pembangkang berhimpun di Kuala Lumpur dalam usaha mereka mendesak Anwar untuk melepaskan jawatannya.

Kerajaan perpaduan pimpinan Anwar - yang digabungkan selepas PRU 2022 - berdepan pelbagai ranjau politik termasuk dakwaan rasuah baru, kegelisahan orang ramai terhadap tekanan kos sara hidup, dan gagal melaksanakan reformasi yang pernah diperjuangkan semasa menjadi pembangkang.

"Penghormatan luar biasa" itu mula disebut Anwar pada 15 Julai lalu dan mencetuskan gelombang spekulasi orang ramai.

Selama beberapa hari, kementerian dan agensi kerajaan menyemarakkan rasa ingin tahu itu dengan hantaran samar di media sosial yang mengandungi slogan Bersama Malaysiaku.

Sementara itu jurucakap kerajaan merangkap Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, menambah debaran itu dengan hantaran ringkas hari ini:

"YAB Perdana Menteri akan membuat pengumuman berkenaan penghargaan buat semua rakyat Malaysia pada 10.30 pagi, Rabu 23hb Julai 2025.

"Nantikan," katanya.

Ketika butiran penuh mengenai pengumuman itu masih disembunyikan, Anwar baru-baru ini membayangkan ia sebagai langkah untuk meringankan beban kos sara hidup - kebimbangan utama dalam kalangan rakyat Malaysia kerana tekanan inflasi dan ekonomi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen