malaysiakini logo
story-image
ADS

PARLIMEN | Kabinet memutuskan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berhubung isu Pulau Batu Puteh atas faktor usianya yang sudah lanjut, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata Kabinet juga mengambil kira status Mahathir sebagai bekas Perdana Menteri.

Anwar berkata demikian ketika menjawab Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu) ketika sesi soal jawab menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

“Kita ambil keputusan ini kerana melibatkan mantan PM yang umurnya 100 tahun.

“Apakah dia tak salah (dalam isu Pulau Batu Puteh)? Dia salah.

“(Tapi) apakah kita perlu ambil tindakan? Saya dalam mesyuarat Kabinet, saya setuju tak ambil tindakan.

“Kalau ambil tindakan, anda, Kota Bharu (Takiyuddin) yang akan jerit kata kita tak adil,” katanya.

Tahun lalu, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan mengesyorkan agar siasatan jenayah dibuat terhadp Mahathir.

Dalam laporann yang telah dinyahklasifikasi di Parlimen pada 5 Disember, RCI menyatakan Mahathir telah mengelirukan Jemaah Menteri pada 2018 untuk menarik balik semakan Malaysia terhadap keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang memberikan kedaulatan Pulau Batu Puteh kepada Singapura.

RCI juga berpandangan Malaysia masih mempunyai peluang untuk membatalkan keputusan mahkamah tersebut.

Sementara itu, Anwar turut menjawab kritikan terhadap dakwaan kejayaan kerajaan dalam memperoleh pelaburan asing berjumlah berbilion ringgit.

Dia menegaskan pelaburan asing yang diumumkannya adalah sahih dan sedang dilaksanakan, serta bukan masalahnya jika pihak yang mengkritiknya gagal melihat pelaksanaan tersebut.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Abdul Aziz juga dijangka akan mengeluarkan senarai projek yang sedang berjalan sebagai bukti, katanya lagi.

“Ini bukan pengumuman tetapi (berkenaan) pelaksanaannya. Projek berjalan.

“Projek itu besar, bukan projek kecil yang tak nampak. Walau cip (mikrocip) itu kecil, bangunannya besar. Itu pun tak nampak.

“Untuk menyatakan yang pelaburan berpuluh-puluh bilion tapi tak nampak apa, itu soal mata rabun dan bukan masalah saya.

“Pergi jumpapakar mata (atau) minta Azizah bantu (periksa),” katanya lagi, merujuk isterinya, Wan Azizah Wan Ismail.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen