Haniff Khatri Abdulla memfailkan saman untuk memohon pengisytiharan mahkamah bahawa Perlembagaan Persekutuan versi bahasa Melayu adalah teks berwibawa yang harus mengatasi versi bahasa Inggeris jika terdapat sebarang percanggahan.
Memetik Perkara 160B perlembagaan, peguam terbabit berkata, jika perlembagaan telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, Yang di-Pertuan Agong boleh menetapkannya sebagai teks yang berwibawa.
Dia berhujah, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail – selaku Agong pada 2003 – melancarkan perlembagaan dengan teks bahasa kebangsaan namun selepas lebih dua dekad, kerajaan masih gagal, enggan atau terabai daripada menguatkuasakan ia sebagai teks sahih.
“Ini adalah satu kemungkiran terhadap kewajipan kerajaan di bawah perlembagaan untuk mengambil segala langkah-langkah yang perlu bagi melaksanakan kesemua proses dan prosedur sistem tadbir urus yang sah, termasuk bagi memartabatkan dan mendaulatkan bahasa kebangsaan,” katanya.
Haniff Khatri berkata pada 16 Jan lalu Tuanku Syed Sirajuddin menulis surat didakwa kepada Jabatan Peguam Negara untuk bertanya mengapa teks bahasa kebangsaan yang dilancarkan baginda pada 2003 masih tidak digunakan sebagai teks berwibawa.
Walaupun surat itu dibangkitkan semasa kes penukaran agama sepihak Loh Siew Hong terhadap pihak berkuasa agama Perlis tahun lepas, dia menegaskan, perkara tersebut tidak diadili sepenuhnya.
Haniff Khatri berkata, dia memfailkan saman itu atas kapasiti peribadinya melalui firma guaman Fuad Abi & Aidil dengan menamakan kerajaan Malaysia sebagai responden.
Ia difailkan di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.
Sekiranya mahkamah enggan membuat pengisytiharan itu, peguam terbabit meminta mahkamah memaksa kerajaan mengambil semua langkah yang perlu untuk menjadikan versi bahasa Melayu sebagai teks berwibawa dalam tempoh lima tahun selepas keputusan mahkamah.
Dalam kenyataan akhbarnya, Haniff Khatri turut menegur kerajaan kerana gagal menguatkuasakan perlembagaan versi bahasa Melayu seperti yang sepatutnya.
“Adalah sangat tidak munasabah bagi sebuah negara yang merdeka lagi berdaulat seperti Malaysia masih tidak memiliki teks sahih perlembagaan di dalam bahasa kebangsaannya sendiri walaupun sudah mencapai kemerdekaan lebih enam dekad.
“Peri pentingnya pemartabatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah inti pati langsung kepada keutuhan patriotisme saya sebagai seorang rakyat Malaysia yang terjejas dan akan terus terjejas seandainya undang-undang tertinggi negara – iaitu Perlembagaan Persekutuan – masih tidak dianggap wujud di dalam bahasa kebangsaan,” katanya.
Sebelum ini, isu versi Perlembagaan Persekutuan yang berwibawa dihujahkan dalam kes mahkamah melibatkan penukaran agama sepihak kanak-kanak.
Dalam versi bahasa Inggeris, perkara 12(4) menetapkan bahawa agama seseorang kanak-kanak bawah umur ditentukan oleh "ibu bapa atau penjaga" mereka, dengan Mahkamah Persekutuan memutuskan pada 2018 bahawa perkataan "ibu bapa" merujuk kepada kedua-dua ibu bapa sekali gus.
Versi bahasa Melayu pula menetapkan bahawa ia harus ditentukan oleh "bapa atau ibu atau penjaga".
Pada Januari 2023, Peguam Negara Idrus Harun menghidupkan semula cadangan untuk menjadikan Perlembagaan Persekutuan edisi bahasa Melayu sebagai versi berwibawa.
Ini menimbulkan tindak balas daripada Majlis Perundingan Buddhisme, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme Malaysia yang menyatakan kebimbangan bahawa menggunakan versi bahasa Melayu akan menjejaskan keputusan penting Mahkamah Persekutuan.
Ahli Parlimen Tuaran, Wilfred Madius Tangau, telah menggesa rundingan diadakan sebelum peralihan dibuat, memandangkan versi perlembagaan bahasa Melayu masih belum dibentangkan kepada Dewan Undangan Negeri Sabah dan Sarawak.

