malaysiakini logo
story-image
ADS

KATA MP | Dalam menjayakan agenda pemerkasaan pembangunan sosioekonomi Orang Asli secara menyeluruh di bawah kerangka Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) perhatian khusus diberi kepada pembangunan masyarakat Orang Asli (MOA).

Selain daripada aspek pendidikan, infrastruktur dan keusahawanan, terdapat tiga bidang penting yang menjadi tumpuan utama iaitu pindaan Perlembagaan Persekutuan, penggubalan semula akta dan dasar berkaitan Orang Asli, serta isu pewartaan tanah rizab.

Fokus ini bukan sahaja menyentuh keperluan asas, tetapi juga melibatkan soal hak, kelangsungan warisan, dan keadilan sosial untuk komuniti yang telah lama terpinggir.

I. PINDAAN PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN - MEMBERI JAMINAN UNDANG-UNDANG

Salah satu cabaran utama yang dihadapi oleh MOA ialah ketiadaan peruntukan khusus dalam Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebajikan dan hak mereka secara eksplisit.

Tidak seperti masyarakat Melayu yang dilindungi melalui peruntukan tertentu, Orang Asli terpaksa bergantung kepada dasar pentadbiran yang berubah-ubah.

Kesan daripada ketiadaan peruntukan ini ialah ketidaksamaan dalam akses kepada pemilikan aset, peluang ekonomi, dan pembangunan sosial. Oleh itu, satu cadangan pindaan kepada Senarai 1 ke Senarai 3 telah dikemukakan yang akan menjadikan kebajikan dan pembangunan Orang Asli sebagai tanggungjawab bersama amtara antara kerajaan Persekutuan dan negeri.

Bagi merealisasikan usaha ini, kerajaan mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Khas Pindaan Perlembagaan yang akan dipengerusikan oleh timbalan perdana menteri dengan penyertaan ketua-ketua menteri dan menteri-menteri besar.

Usaha ini dilihat sebagai satu langkah penting ke arah menginstitusikan hak Orang Asli secara sah di sisi undang-undang.

II. AKTA DAN DASAR ORANG ASLI – KEMAS KINI SEMULA KERANGKA PERUNDANGAN DAN POLISI

Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) merupakan satu-satunya undang-undang khusus untuk masyarakat Orang Asli di Semenanjung Malaysia. Namun, selepas hampir tujuh dekad, akta ini semakin lapuk dan tidak lagi mencerminkan realiti semasa.

Peruntukan dalam Akta 134 dilihat tidak memberikan perlindungan mencukupi berkaitan hak tanah, pemilikan aset, pendidikan, penjagaan kesihatan, dan peluang ekonomi.

Tambahan pula, dasar pembangunan sedia ada tidak selari dengan komitmen Malaysia di peringkat antarabangsa terhadap hak-hak masyarakat asal. Oleh itu, kerajaan mencadangkan dua langkah utama:

1. Pindaan Akta Orang Asli 1954, termasuk menyemak semula/kemas kini pelaksanaan undang-undang sedia ada dan menjelaskan peruntukan yang berkaitan hak dan pembangunan Orang Asli.

2. Penggubalan dasar baru yang komprehensif, yang bukan sahaja melibatkan pemerkasaan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) tetapi juga meletakkan pembangunan sosioekonomi Orang Asli dalam kerangka yang strategik dan inklusif.

Cadangan ini melibatkan pelbagai kementerian termasuk Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah; Kementerian Ekonomi; Kementerian Kewangan; Kementerian Pendidikan; JAKOA ; dan pertubuhan antarabangsa seperti United Nations Development Programme (UNDP).

III. PEWARTAAN TANAH RIZAB ORANG ASLI – MEMASTIKAN HAK MILIK YANG DIIKTIRAF

Tanah merupakan nadi kepada kelangsungan hidup MOA. Ia bukan sekadar tempat tinggal, tetapi juga merupakan warisan nenek moyang yang menyimpan nilai budaya, identiti dan sumber ekonomi.

Namun, hingga kini proses pewartaan tanah Orang Asli masih jauh daripada memuaskan.

Daripada sasaran 363 Kampung Orang Asli (KOA) yang sepatutnya diwartakan, hanya 312 – dengan keluasan 35,622 hektar –berjaya diwartakan sehingga Jan lalu.

Ini bermakna hanya 43 peratus daripada KOA yang diiktiraf.

Kegagalan mewartakan tanah ini mengakibatkan banyak projek pembangunan tidak dapat dilaksanakan dengan efektif. Ia juga menjadikan komuniti terdedah kepada pencerobohan dan pemindahan secara paksa.

Isu ini turut menjadi kritikal oleh kerana kelewatan kelulusan daripada pihak berkuasa negeri.

Sebagai penyelesaian, kerajaan akan mengangkat kertas kerja pewartaan ke Majlis Tanah Negara dan melibatkan agensi teknikal seperti jabatan perhutanan, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia, serta pejabat tanah dan galian negeri.

Pada masa yang sama, infrastruktur asas di KOA juga perlu dipertingkatkan kerana banyak kawasan masih ketinggalan dari segi akses jalan raya, bekalan air bersih dan elektrik.

Ketersambungan ini penting untuk memastikan penyertaan penuh MOA dalam arus pembangunan negara.

KESIMPULAN

Pelan Transformasi Kongres Ekonomi Bumiputera menandakan satu perubahan pendekatan dalam menangani isu MOA bukan sekadar pembangunan fizikal, tetapi menyentuh akar umbi hak, maruah dan pengiktirafan yang telah lama diabaikan.

Melalui pindaan perlembagaan, pembaharuan dasar, dan pewartaan tanah, kerajaan berusaha memperkukuh kedudukan Orang Asli dalam struktur negara secara adil dan saksama.

Namun, kejayaan inisiatif ini sangat bergantung kepada komitmen politik, kerjasama rentas agensi, dan kejujuran dalam pelaksanaan.

MOA tidak harus terus menunggu di pinggir pembangunan sebaliknya wajar menjadi sebahagian daripada masa depan Malaysia yang inklusif, adil dan berperikemanusiaan.


RAMLI MOHD NOR ialah Ahli Parlimen Cameron Highlands dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen