malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
ULASAN | SAM jambatan penghubung ‘keluarga sukan’ tanah air
ADS

ULASAN SUKAN | Tidak dinafikan keluarga sukan kita membentuk satu kumpulan yang sentiasa bersifat mesra walaupun mereka berpegang kepada objektif dan falsafah yang berbeza dari segi pelaksanaan tugasan masing-masing.

Kumpulan ini terarah kepada penulis sukan tanah air, Majlis Sukan Negara (MSN), Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan persatuan sukan kebangsaan, umpamanya.

Pada majlis Anugerah Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM)-100 PLUS 2024 baru-baru ini, jelas terpancar saat-saat kemesraan itu DALAM kalangan kumpulan terbabit.

Ia terhasil melalui ikatan persaudaraan yang menjadi satu jambatan penghubung kuat sekian lama.

Pada hari berkenaan, semua pihak terbabit dalam sukan negara – termasuk atlet kebangsaan, jurulatih dan supremo dari MSN, MOM serta persatuan sukan hadir memberi sokongan mereka kepada penganjuran majlis tahunan tersebut.

Ia nampak seperti pertemuan yang menyatukan semua ahli keluarga sukan tanah air, bukannya untuk SAM sahaja.

Bagai aur dengan tebing, ia adalah hubungan yang saling memerlukan dan membantu antara satu sama lain. Ini kerana sasaran semua pihak adalah sama: melihat sukan sentiasa berkembang maju.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, adalah antara orang kenamaan yang hadir dan menyampaikan hadiah utama kepada ratu boling padang negara, Nur Farah Ain Abdullah, yang muncul penerima Anugerah Atlet Terbaik.

Atlet powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin pula ditabal selaku pemenang kategori Atlet Para Terbaik. Ia juga gelaran ketiga baginya sejak hadiah itu diperkenalkan pada edisi 2017.

Berkongsi objektif utama

Pihak penaja juga harus diklasifikasi sebagai antara ejen utama dalam keluarga ini sejak beberapa dekad lalu. Kumpulan ini – termasuk 100 PLUS – kerap menjadi penyumbang besar membantu mengurangkan beban kewangan kepada hampir setiap cabang sukan kita.

Dalam hal ini, kerjasama erat itu terjalin atas perhubungan dan komunikasi baik yang terbina selepas satu tempoh lama di antara wartawan sukan dan agensi atau syarikat berkenaan.

Ringkasnya, ia adalah satu situasi menang-menang. Ini kerana pihak terbabit komited kepada pembangunan sukan negara walaupun usaha memperkasakan jenama masing-masing tetap menjadi keutamaan.

Semua entiti ini sebenarnya tidak bergerak sebagai satu unit disebabkan amalan tugasan masing-masing dalam mempertahankan etika majikan yang mereka wakili.

Antara pengamal sukan serta pegawai MSN, MOM dan persatuan sukan kebangsaan yang hadir

Apa pun, objektif utama hanya satu, iaitu bersama-sama menggembleng tenaga, memajukan sukan tanah air bagi memenuhi cita rasa rakyat dan juga aspirasi kerajaan.

Pastinya mereka yang hadir dapat melihat wajah-wajah ceria di dewan anugerah berkenaan. Ini kerana mereka berpeluang bertemu rakan sukan masing-masing untuk bertanya khabar dan bertukar-tukar pandangan.

Ini amat penting untuk mendapatkan input terkini mengenai perkembangan sukan tanah air.

Ada juga yang gembira dapat bertemu semula dengan sahabat mereka itu selepas lama berpisah, terutamanya dalam kalangan bekas wartawan sukan yang pernah menabur bakti kepada SAM sebagai presiden, ahli exco atau ahli biasa.

Antara otai sukan lama yang hadir termasuk, Hishamuddin Aun, Abu Bakar Atan, Pekan Ramli, Khawari Md Isa, Norbakti Alias, D Arul Rajoo, Chua Choo Chiang, Eric Samuel dan penulis sendiri. Mohon maaf jika saya tercicir beberapa nama lagi.

Hishamuddin yang juga pemerhati sukan berpengalaman serta kolumnis mendapat pengiktirafan atas sumbangan besarnya dalam bidang kewartawanan sukan apabila muncul penerima Anugerah Penghargaan Khas.

Hishamuddin (duduk) jadi penerima Anugerah Penghargaan Khas bersama dua lagi pemerhati sukan, Eric Samuel (berdiri, tengah) serta Yu Nee Khong (kiri) sambil diperhatikan Presiden SAM, Norismadi Abd Manap

Dua lagi pemerhati sukan, Eric Samuel (bekas eksekutif sukan The Star) dan Yu Nee Khong turut menerima anugerah sama.

Selepas hampir 10 tahun tidak menghadiri majlis berkenaan, penulis macam terasa ketinggalan sedikit dengan senario baru sukan tanah air.

Setidak-tidaknya melalui perbualan mesra, sedikit sebanyak dapat menyegarkan semula minda untuk berkongsi bicara dengan mereka. Begitu juga dengan wartawan generasi baru ala era digital ini. Hebat senarionya.

Antara yang ditemui termasuk bekas Ketua Pengarah MSN, Ahmad Shapawi Ismail. Ia juga mengembalikan memori lama sejak penulis mula mengenali dia pada awal 90-an.

Tajamnya mata pena

Ahmad Shapawi menjadi Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) sejak 8 Mac lalu selepas bersara pada 28 Sept 2023.

Legenda bola sepak, Zainal Abidin Hassan dan Dollah Salleh; ikon hoki negara, Mirnawan Nawawi; ratu terjun, Leong Mun Yee; dan bekas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Hamidin Amin; adalah antara personaliti sukan yang turut mewarnai anugerah kali ini.

Sumbangan dan jasa Hamidin tidak dilupakan SAM apabila dia terpilih sebagai penerima anugerah Tokoh Kepimpinan Sukan.

Segalanya menceritakan hubungan mesra sesama ahli dari ‘keluarga besar’ ini.

Yeoh menyampaikan Anugerah Atlet Terbaik kepada Nur Farah Ain Abdullah

Sifat persaudaraan yang pernah didukung oleh bekas wartawan sukan ke atas bekas atlet negara, jurulatih dan bekas pemimpin persatuan sukan turut ditunjukkan oleh penulis generasi baru kita.

Harap pertalian baik ini bertambah mantap setiap masa demi kemajuan sukan negara tanah air.

Kita juga menghargai sumbangan setiap presiden sepanjang lebih lima dekad lalu.

Mereka menggalas cita-cita sama iaitu mengangkat martabat SAM dengan mesej betapa ahli badan berkenaan juga ada kemampuan meningkatkan mutu sukan tanah air seiringan dengan fungsi dilakukan MSN atau MOM, umpamanya.

Seperti kata Yeoh dalam ucapannya: “Mata pena itu lebih tajam daripada senjata lain. Media sukan boleh membina seorang atlet menjadi ‘hero’ dan pada masa sama juga boleh menurunkan mereka menjadi ‘zero’.

Ini satu pengertian yang mendalam mengenai ‘kuasa milik’ penulis sukan negara. Asalkan ia tidak disalahgunakan.

Majulah sukan untuk negara!


V ASHOK ialah bekas Pengarang Sukan dan Pengarang Berita Luar Negara di BH.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen