malaysiakini logo
story-image
ADS

Ahli Parlimen PAS, Shahidan Kassim (PN-Arau) memaklumkan telah mengemukakan satu usul di Parlimen bagi membahaskan dakwaan terbaru terhadap bekas pembantu Perdana Menteri, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Bercakap di Dewan Rakyat hari ini, Shahidan memaklumkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Johari Abdul, bahawa dia telah menghantar dua usul untuk pertimbangan Speaker.

"Satu usul berkaitan ikon anak muda (Farhash Wafa) Salvador yang hebat, dapat tanah daripada Sabah, bagus, alhamdulillah,” katanya yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan, ringkas.

Malaysiakini telah menghubungi Shahidan untuk mendapatkan butiran lanjut mengenai usul tersebut.

Sementara itu, dia memaklumkan bahawa satu lagi usul yang dikemukakan berkait dengan perhimpunan ‘Turun Anwar’ yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur pada 26 Julai ini — bertujuan untuk mendesak Perdana Menteri Anwar Ibrahim (PH-Tambun) supaya meletakkan jawatan.

Desakan itu antara lain susulan kos sara hidup yang semakin meningkat dan kegagalan kerajaan melaksanakan janji reformasi.

Shahidan membangkitkan isu itu di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) berkenaan perkara berkepentingan awam yang mendesak.

Namun dia turut meminta Speaker mempertimbang semula peraturan 18(5), yang menyatakan tidak lebih daripada satu usul boleh dibawa dalam satu sidang Dewan Rakyat.

Terdahulu hari ini, sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Farhash didakwa menerima lesen cari gali daripada syarikat milik kerajaan negeri, Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM).

Farhash menafikan dakwaan tersebut dan mengeluarkan surat tuntutan kepada portal MalaysiaNow supaya menghentikan penyiaran artikel berkaitan dakwaan itu.

Ketika dihubungi, Ketua Pegawai Eksekutif SMM, Natasha Sim, memaklumkan kepada Malaysiakini bahawa berdasarkan rekod, tiada syarikat yang dimiliki atau dikaitkan dengan Farhash — termasuk Bumi Suria Sdn Bhd dan Borneo Bumi Sdn Bhd — yang telah dianugerahkan lesen tersebut.

Laporan MalaysiaNow mendakwa bahawa Bumi Suria telah diberikan lesen cari gali di Sabah melibatkan kawasan seluas 70,000 hektar di hutan simpan Kalabakan dan Gunung Rara berhampiran sempadan Kalimantan.

Farhash sebelum ini pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik kepada Anwar Ibrahim sebelum dia dilantik sebagai perdana menteri.

Isu lesen cari gali mineral di Sabah kini menjadi tumpuan selepas beberapa Adun negeri itu — termasuk menteri Sabah — dirakam berbincang mengenai sogokan dengan seorang ahli perniagaan, Albert Tei, yang kemudian tampil mendedahkan dakwaan berkenaan.

Dua ahli politik Sabah, iaitu Pembantu Menteri, Andi Suryady Bandy dan Pengerusi Qhazanah Sabah, Yusof Yaacob, telah didakwa menerima sogokan berjumlah RM350,000 daripada Tei. Tei turut didakwa kerana memberi rasuah.

Skandal ini turut mengheret nama Natasha Sim, susulan kemunculan sekeping gambar yang didakwa menunjukkan dirinya, Setiausaha Syarikat SMM, Nancy Chong, dan taikun balak Sabah, Elbert Lim, bergambar bersama bagasi di sebelah sebuah jet peribadi yang dikatakan milik seorang taikun arang batu dari Indonesia.

Sim sebelum ini menafikan dakwaan bekas CEO SMM, Jontih Enggihon, bahawa dia dan suaminya menyertai percutian mewah tajaan bernilai RM400,000 itu, namun dia masih belum memberi respons terhadap gambar yang kini tular.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen