PARLIMEN | Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar menegaskan tiada pertindihan peranan antara Tabung Haji (TH) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) dalam urusan haji dan umrah.
Mohd Na’im berkata demikian semasa menjawab Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau), yang membangkitkan persoalan jika langkah untuk menghalang kes penipuan haji dan umrah tidak dapat dilaksanakan ekoran pertindihan kuasa antara Motac dan Tabung Haji.
“Berkaitan soal (urusan) umrah itu terletak dibawah Motac atau TH, saya rasa ia tidak menjadi isu.
“Saya tak nampak (tanggapan pertindihan) itu menjadi isu utama tetapi kesedaran masyarakat dan sifat tanggungjawab dalam kalangan pengelola agensi pelancongan ini yang kita perlu tekankan,” katanya dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan seramai 47 jemaah haji Malaysia ditipu dan masuk ke Jeddah secara haram untuk menunaikan haji dengan menggunakan visa pelancong.
Kesemua jemaah mendakwa terpaksa meredah laluan berbahaya dengan berjalan kaki tanpa dokumen untuk ke Makkah, ekoran kawalan ketat pihak berkuasa Arab Saudi terhadap jemaah yang tiada visa haji.
Susulan itu, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu.
Tak dapat dihalang
Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata TH dan Motac sentiasa mengadakan perbincangan berhubung mekanisme dan agihan tugas kedua-dua pihak.
Pada masa sama, dia menegaskan fokus utama tetap dalam meningkatkan kesedaran umat Islam dan memastikan agensi pelancongan mematuhi peraturan.

Untuk itu, katanya, kerajaan sentiasa memberi pencerahan kepada umat Islam mengenai kepentingan mendapatkan permit haji sah, termasuk melalui khutbah Jumaat dan telah menubuhkan jawatankuasa khas bersama polis, TH dan Motac bagi menghalang syarikat atau individu membawa jemaah tanpa permit sah.
Namun, dia berkata insiden yang melibatkan 47 orang jemaah haji Malaysia ditipu sebelum ini tidak dapat dihalang.
“Sekiranya ada maklumat yang kita terima, kita boleh halang. Tetapi, apa yang berlaku kepada 47 jemaah haji itu kita tidak boleh halang kalau mereka ini hendak bergerak ke negara lain.
“Jadi, kumpulan 47 jemaah haji tersebut pergi seolah-olah nak bercuti ke Turki, Emiriah Arab Bersatu kemudian dari situ mereka bergerak masuk ke Makkah untuk menunaikan haji. Jadi, ini masalah yang timbul daripada apa yang berlaku,” katanya.
Permohonan subsidi haji berkurangan
Sementara itu, Mohd Na’im memaklumkan permohonan bantuan subsidi haji daripada golongan B40 dan M40 semakin berkurangan selepas meningkatnya kesedaran mereka dalam soal kemampuan melakukan ibadah itu.
Katanya, penolakan terhadap bantuan berkenaan mendorong kepada peningkatan sebanyak 3.25 peratus dividen Lembaga Tabung Haji pada tahun lalu.
“Tabung Haji dalam usaha memberikan penjelasan kepada rakyat khususnya orang Islam berkenaan kaitan haji dengan kemampuan.
“Bermula 2022, memang subsidi yang diberikan TH kepada jemaah haji, khususnya dalam kalangan B40 dan M40, makin berkurangan.
“Jadi atas dasar tersebut, alhamdulillah jumlah jemaah haji yang layak menunaikan haji untuk dua tahun lepas, yang sukarela tolak bantuan adalah 263 orang (2024) dan 396 orang (2023).
“Ini menunjukkan kefahaman masyarakat hasil penjelasan diberikan berkenaan kewajiban berkenaan,” katanya menjawab soalan tambahan Ahmad Marzuk Shaari (PN-Pengkalan Chepa).
Terdahulu, Ahmad Marzuk mempertikai pengolahan dividen kepada bantuan subsidi Jemaah haji yang memerlukan.

