Perdana Menteri Anwar Ibrahim menafikan berlakunya perubahan saat akhir dalam senarai pencalonan pelantikan hakim yang dikemukakan kepada Majlis Raja-Raja.
Menurut Anwar, proses telah dijalankan mengikut Perlembagaan Persekutuan dan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) tidak seharusnya dipolitikkan.
“Dalam mesyuarat (Majlis Raja-Raja), telah dibincang dan dipersetujui nama yang kita kemukakan dari awal, tak ada tukar.
“Sekarang bila dah berlaku begini, ada yang berkata tukar (pencalonan) di saat akhir. Itu tak betul, anda boleh semak,” katanya semasa perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, hari ini.
Sebelum ini, Anwar juga menafikan dia mengemukakan nama Hakim Mahkamah Persekutuan, Ahmad Terrirudin Salleh untuk dipertimbangkan sebagai Ketua Hakim Negara – langkah yang dilihat oleh sesetengah pihak sebagai usaha menepis dakwaan yang keputusan tersebut dipengaruhi oleh kebocoran maklumat baru-baru ini.
Sejumlah pihak membangkitkan kebimbangan susulan persaraan beberapa hakim tertinggi tanpa pengumuman rasmi mengenai pengganti mereka.

Selepas itu, tersebar pula dokumen yang didakwa sebagai minit mesyuarat JAC, yang seperti mengesahkan tuduhan campur tangan dalam urusan kehakiman, yang mula timbul pada Jun lalu selepas laporan polis dibuat bagi pihak seorang hakim turut dibocorkan.
Pada minggu lalu, Hakim Mahkamah Rayuan Wan Ahmad Farid Wan Salleh dilantik sebagai Ketua Hakim Negara yang baru, manakala jawatan Presiden Mahkamah Rayuan diisi oleh Hakim Mahkamah Persekutuan Abu Bakar Jais dan Hakim Mahkamah Rayuan Azizah Nawawi dilantik sebagai Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak.
Menjawab tuduhan bahawa dia mengisi jawatan kehakiman dengan individu yang akan memihak kepadanya dalam saman sivil yang dikemukakan oleh Yusoff Rawther, Anwar menegaskan ia adalah kes sivil, bukan jenayah.
Beliau turut mengecam pihak yang mengkiritiknya, yang menurutnya telah “menghukum” dirinya kerana berdiam diri.
“Saya tak boleh mendahului (Majlis Raja-Raja) jadi mereka kecam apa-apa pun, saya terpaksa kata kita ikut proses. (Ia menjadikan) mereka lagi marah,” katanya lagi.

