malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PN patut bentang alternatif, bukan anjur demo
Diterbitkan:  Jul 21, 2025 11:52 AM
Dikemaskini: 5:04 AM
ADS

Perikatan Nasional (PN) sepatutnya memberi tumpuan kepada membentangkan alternatif kepada Rancangan Malaysia Ke-13, bukan menganjurkan perhimpunan besar-besaran, kata anggota parlimen Gopeng Tan Kar Hing.

Katanya, PN yang terdiri daripada bekas perdana menteri dan menteri sepatutnya telah menubuhkan kabinet bayangan dan membentangkan cadangan alternatif belanjawan sejak 2023.

Tan berkata pembangkang patut mengemukakan penyelesaian konkrit terhadap isu-isu seperti ekonomi, inflasi global, pendidikan, kesihatan dan pekerjaan.

“Namun, PN seolah-olah ketagih kepada kuasa, dan melupakan ketidaktentuan serta kekacauan yang pernah dialami rakyat akibat pertukaran kerajaan. 

“Dalam keadaan geopolitik antarabangsa yang tidak menentu, negara lebih memerlukan perpaduan dan pendekatan yang pragmatik. 

“PN harus mengetepikan nafsu kuasa, mengutamakan rakyat, dan fokus kepada pembangunan sebenar, bukan mengapi-apikan ketegangan dalam masyarakat,” kata wakil rakyat PKR itu.

Demo anti-Anwar di Shah Alam bulan lalu

Satu demonstrasi bagi menuntut Perdana Menteri Anwar Ibrahim meletakkan jawatan dijadual berlangsung di ibu negara, Sabtu ini.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Usuf Jan Mohamad berkata Cawangan Khas PDRM mengunjurkan kehadiran antara 10,000 hingga 15,000 orang.

Dalam kenyataan hari ini, dia mengakui bahawa perlembagaan menjamin hak rakyat untuk berhimpun secara aman serta mengiktiraf kebebasan bersuara.

Bagaimanapun, katanya, pembangkang perlu menghentikan permainan politik berasaskan isu 3R (kaum, raja dan agama) serta meletakkan kepentingan negara mengatasi “keuntungan politik sempit”.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen