malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PSM cadang ganjaran RM1 juta untuk pemberi maklumat kes Teoh
Diterbitkan:  Jul 20, 2025 4:51 PM
Dikemaskini: 8:51 AM
ADS

Timbalan Pengerusi PSM, S Arutchelvan mencadangkan ganjaran RM1 juta diberi kepada sesiapa yang boleh memberi maklumat mengenai pihak yang bertanggungjawab atas kematian bekas pembantu politik DAP, Teoh Beng Hock.

Katanya, tawaran itu lebih rendah berbanding menawarkan ganjaran RM10 juta untuk memburu individu di luar negara.

Tambahnya, setelah 16 tahun berlalu, keluarga Teoh masih belum mendapat keadilan.

“Kes ini sepatutnya lebih mudah diselesaikan dan RM1 juta sudah lebih daripada mencukupi untuk membawa pelaku ke muka pengadilan,” katanya kepada Malaysiakini.

Dia berkata demikian sebagai mengulas cadangan Adun PKR, Chua Wei Kiat, yang mahu kerajaan menawarkan RM10 juta untuk mencari dalang utama skandal 1MDB, Jho Low.

Ini susulan pendedahan bahawa ahli perniagaan kelahiran Pulau Pinang itu dipercayai berada di Shanghai dan bekerja sebagai “pakar strategi di belakang tabir”.

Menurut Arutchelvan, mencari pihak yang terlibat dalam kematian Teoh adalah lebih mudah kerana permohonan maaf oleh SPRM kepada keluarganya boleh dianggap sebagai pengakuan bersalah dan ini sekali gus memudahkan skop siasatan.

“Suruhanjaya Diraja (RCI) sebelum ini telah mengenal pasti tiga pegawai yang menjalankan sesi soal siasat, manakala keluarga Teoh pula menyatakan bahawa terdapat enam pegawai terlibat — jadi siasatan boleh difokuskan lebih mudah," ujarnya.

‘SPRM perlu bertanggungjawab’

Pada 2011, Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Nazri Abdul Aziz mendedahkan bahawa RCI berhubung kematian Teoh memutuskan bahawa pembantu ahli politik itu membunuh diri.

Nazri berkata, RCI mendapati tindakan bunuh diri tersebut berpunca daripada soal siasat agresif yang berterusan oleh pegawai SPRM.

Tiga pegawai tersebut ialah bekas ketua unit siasatan SPRM Selangor Hishamudin Hashim, pegawai siasatan Mohd Anuar Ismail, dan penolong penguasa Mohd Ashraf Mohd Yunus.

Memandangkan Teoh berada dalam tahanan SPRM, Arutchelvan menegaskan bahawa suruhanjaya itu tidak boleh menyalahkan faktor luar atas kematian tersebut.

"Istilah Latin ‘in loco parentis’ merujuk kepada pihak yang bertanggungjawab menjaga tahanan — dalam kes ini, SPRM," kata Arutchelvan.

"Mereka mesti dipertanggungjawabkan sepenuhnya terhadap apa yang berlaku semasa dalam jagaan mereka. Membawa pembunuh Teoh ke muka pengadilan mungkin jauh lebih mudah daripada menangkap Jho Low kerana kali ini, suspek berada di dalam negara," tambahnya lagi.

Satu majlis memperingati Teoh diadakan di Kuala Lumpur semalam sempena ulang tahun ke-16 kematiannya. Dalam majlis itu, keluarganya menegaskan bahawa kebenaran jauh lebih penting daripada sekadar permohonan maaf atau pampasan.

Pada tahun 2009, Teoh — ketika itu pembantu politik kepada Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah — ditemui mati selepas disoal siasat semalaman oleh SPRM di ibu pejabatnya ketika itu di Plaza Masalam, Shah Alam.

RCI pada tahun 2011 menyimpulkan bahawa Teoh membunuh diri akibat soal siasat yang agresif, namun Mahkamah Rayuan pada 2014 memutuskan bahawa kematiannya berpunca — atau dipercepatkan — oleh tindakan yang menyalahi undang-undang, termasuk oleh pegawai SPRM sendiri.

Namun Jabatan Peguam Negara pada Mei tahun ini mengumumkan bahawa tiada tindakan lanjut akan diambil, meskipun siasatan semula telah dijalankan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen