malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Cuti guna jet peribadi' - ada lagikah rahsia gelap, soal Warisan
Diterbitkan:  Jul 20, 2025 1:11 PM
Dikemaskini: 5:11 AM
ADS

Naib Ketua Wirawati Warisan, Sabrina Yahya mengkritik keras kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan mendakwa negeri itu kini dalam keadaan “hancur” di bawah pentadbiran semasa, susulan pendedahan terbaru melibatkan dakwaan percutian mewah menggunakan jet peribadi.

“Berapa banyak lagi rahsia gelap? Berapa ramai lagi individu berpengaruh yang masih belum didedahkan,” soalnya dalam satu kenyataan pedas.

Sabrina merujuk dakwaan membabitkan CEO Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) Natasha Sim, setiausaha syarikat Emily Chong dan taikun balak Elbert Lim, yang dituduh bercuti menggunakan jet peribadi milik seorang jutawan arang batu dari Indonesia.

Tegasnya, sejak skandal perlombongan itu pertama kali didedahkan pada November lalu, tidak ada satu bulan pun berlalu tanpa munculnya pendedahan atau nama-nama baru dikaitkan.

“Pada 19 November tahun lalu, Malaysiakini melaporkan bekas CEO SMM, Jontih Enggihon, telah membuat laporan polis dan kepada SPRM mengenai apa yang dipanggil ‘skandal jet peribadi’ melibatkan Sim dan Chong.

"Namun sehingga hari ini, pihak berkuasa terus berdiam diri — tiada makluman, tiada tindakan,” katanya.

Sabrina turut mengingatkan Sim ketika itu menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai fitnah dan tidak berasas.

“Tetapi kini, kebenaran mula muncul,” tambahnya.

Setakat ini, Sim atau Pejabat Ketua Menteri Sabah masih belum memberikan sebarang komen mengenai gambar yang kini tular di media sosial dan telah mencetuskan desakan agar siasatan segera dijalankan.

Dalam kenyataannya, Sabrina menuntut penjelasan mengenai hubungan antara Sim, Chong, Lim dan taikun dari Indonesia itu.

Dia juga menggesa pihak polis dan SPRM bertindak segera bagi menentukan sama ada berlaku salah laku, kegagalan tadbir urus, konflik kepentingan, dan juga rasuah terang-terangan.

Pemimpin Warisan itu turut menyoal tindakan kerajaan negeri menganugerahkan gelaran kehormat Justice of the Peace (JP) kepada Sim yang berusia 31 tahun semasa sambutan rasmi Hari Jadi ke-74 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah pada 21 Jun lalu.

Dalam laporan terdahulu, bekas CEO SMM itu turut mendakwa berlakunya penyalahgunaan kuasa, rasuah, dan konflik kepentingan — dengan mendakwa Sim menerima pelawaan percutian mewah menggunakan jet peribadi itu tanpa memaklumkan kepada Lembaga Pengarah SMM, walaupun ditawarkan oleh syarikat dari Indonesia.

Percutian tersebut dianggarkan menelan kos RM400,000 dan dikatakan turut melibatkan suaminya.

Sebagai tindak balas, SMM telah memfailkan tindakan undang-undang terhadap Jontih serta pembocor maklumat, ahli perniagaan Albert Tei — individu yang pertama kali mendedahkan skandal perlombongan itu.

Mereka dituduh melakukan penipuan, pelanggaran amanah fidusiari, pengubahan dokumen rasmi, konspirasi untuk mencetuskan kerugian melalui cara haram, serta kemungkinan bersekongkol dengan pihak ketiga.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen