Dalam usaha mempercepatkan penangkapan Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low — individu utama di sebalik skandal mega 1MDB — seorang Adun PKR tampil mencadangkan pendekatan lebih agresif: menawarkan ganjaran lumayan kepada mana-mana pihak yang berjaya mengesan dan membawa pulang buruan antarabangsa itu.
Adun Rawang, Chua Wei Kiat menggesa kerajaan Malaysia menyediakan ganjaran RM10 juta kepada individu, organisasi swasta, atau agensi penguatkuasaan luar negara yang mampu memberikan maklumat sahih sehingga membawa kepada kepulangan Jho Low ke tanah air bagi menghadapi perbicaraan.
"Saya menyaran kerajaan Malaysia mengambil satu langkah berani dan proaktif dengan menawarkan ganjaran kewangan kepada mana-mana individu, pihak swasta mahupun agensi penguatkuasaan luar negara yang mampu menyalurkan maklumat sahih hingga berjaya membawa pulang buruan utama kes 1MDB, iaitu Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low," katanya pada kenyataan hari ini.
Chua menegaskan langkah tersebut penting untuk menegakkan keadilan secara menyeluruh, sebagaimana bekas perdana menteri Najib Razak kini menjalani hukuman penjara atas penglibatan dalam skandal sama.
Mengenai jumlah ganjaran yang dicadangkan, Chua menjelaskan RM10 juta hanyalah sebahagian kecil daripada wang 1MDB yang telah berjaya dipulangkan kepada negara:
"Saya mencadangkan agar ganjaran yang ditawarkan itu bernilai RM10 juta merupakan 0.035 peratus dari jumlah keseluruhan dana 1MDB yang telah berjaya dikembalikan kepada Malaysia, iaitu lebih RM29 bilion setakat ini," katanya lagi.
Dalam pada itu, dia memberi peringatan keras kepada mana-mana pihak yang cuba melarikan diri daripada proses keadilan.
"Orang yang terlibat dengan jenayah mesti berdepan dengan undang-undang, bukan melarikan diri seumur hidup," tegasnya.
Chua turut menjelaskan sistem ganjaran seperti ini bukan sesuatu yang baru di peringkat antarabangsa. Menurutnya, Amerika Syarikat, India dan China telah lama menggunakan mekanisme sebegitu dalam memburu pengganas, penjenayah rentas sempadan dan pelaku rasuah antarabangsa.
"Ia juga akan menjadi isyarat jelas kepada dunia bahawa Malaysia tidak berkompromi dalam membanteras rasuah berskala mega.
"Kita tidak lupa bahawa Jho Low bukan sekadar suspek, dia adalah simbol kepada sistem yang dibolosi, institusi yang dimanipulasi dan kekayaan negara yang dicuri," katanya lagi.
Chua menegaskan selagi Jho Low terus bebas di luar negara, keadilan untuk rakyat Malaysia tidak akan lengkap.
"Bagaimana keadilan boleh ditegakkan jika individu yang menyimpan kunci kepada keseluruhan skandal ini masih bebas dan terus menikmati kehidupan mewah di luar negara," soalnya.
Katanya, semua individu terlibat dalam skandal 1MDB mesti bertanggungjawab, tanpa mengira kedudukan mahupun kekayaan mereka.
Dalam perkembangan berkaitan, wartawan penyiasat Bradley Hope danTom Wright baru-baru ini mendakwa bahawa Jho Low telah dilihat diShanghai.
Mereka juga mendakwa Jho Low kini berperanan sebagai “penasihat strategik” kepada kerajaan China, selain didakwa menggunakanpasport palsu Australia atas nama Yunani Veis Constantinos Achilles untuk menyembunyikan identiti dan pergerakannya.

