malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Skuad luncur ombak negara bersaing di kejohanan ASF 2025 Ogos ini
Diterbitkan:  Jul 20, 2025 9:00 AM
Dikemaskini: 1:00 AM
ADS

Seramai enam atlet negara bakal bersaing di kejohanan ASF Asian Surfing Championship 2025 yang bakal berlangsung di Mahabalipuram, Tamil Nadu di India pada Ogos ini.

Persatuan Luncur Ombak Malaysia (PLOM) berkata, kejohanan itu akan menjadi platform buat tiga atlet lelaki dan tiga atlet wanita negara mempamerkan bakat serta menguji kemahiran bersama-sama peluncur terbaik di Asia.

Lebih signifikan, kata PLOM, kejohanan itu juga merupakan kejohanan kelayakan untuk Sukan Asia ke-20, dengan Jepun selaku tuan rumah pada tahun depan.

“Kejohanan ini merupakan salah satu pertandingan utama dalam kalendar Asia Surfing Federation (ASF) dan menghimpunkan peluncur ombak terbaik dari rantau Asia bagi merebut kedudukan ranking tertinggi para atlet serta peluang kelayakan negara-negara ke kejohanan peringkat dunia.

“Ia juga menjadi platform terbaik buat peluncur ombak Malaysia memperoleh pengalaman berharga dan pendedahan antarabangsa dengan bersaing di lokasi ombak bertaraf dunia,” kata PLOM dalam kenyataan.

PLOM berkata sebagai persiapan, kesemua atlet akan menjalani latihan intensif selama seminggu di Pantai Cimaja, Jawa Barat di Indonesia, dengan tumpuan untuk meningkatkan teknik, kekuatan mental dan keserasian pasukan menjelang kejohanan.

“Kami meletakkan keyakinan atlet negara berada dalam keadaan terbaik dan bersedia memberikan saingan hebat kepada peserta dari negara-negara lain,” kata PLOM lagi.

Peluang sumbang pingat

PLOM turut membangkitkan kenyataan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh pada November 2024 bahawa potensi sukan luncur ombak untuk menyumbang pingat kepada negara dalam sukan Olimpik akan datang.

Susulan itu, PLOM berkata pihak telah mengadakan pertemuan dengan Yeoh berhubung program pembangunan Projek Khas Tiga Sukan Olimpik - merujuk kepada sukan luncur ombak, papan luncur dan wall climbing.

“Projek itu telah bermula dengan penyertaan atlet Malaysia di Kejohanan Asian Pro Surf Series (APSS) Afufu di Pulau Nias, Sumatera, Indonesia  pada awal bulan ini,” kata persatuan itu lagi.

Berikut adalah enam atlet yang akan mewakili negara di ASF Asian Surfing Championship (ASF) 2025:

  • Muhamad Nor Afiq Haikal bin Muhamad Nor Azizi (terbuka lelaki)

  • Mohd Nazrin bin Nasruddin (terbuka lelaki)

  • Lucas Santiago Wehle (terbuka lelaki, bawah 18 tahun lelaki) 

  • Nurain Mat Isa (terbuka wanita)

  • Mona Rasidah Abdul Rashid (terbuka wanita)

  • Tun Athirah Shah Norazhar (terbuka wanita)


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen