Young Creator Fellowship 2025, anjuran bersama Malaysiakini dan Unesco, berjaya menamatkan edisi pertamanya pada 18 Julai, dengan tiga pencipta muda yang cemerlang diumumkan sebagai pemenang utama.
Duncan Cheng Kai Guan dari Sabah muncul sebagai juara menerusi filem pendek selama lima minit yang memaparkan kritikan tajam terhadap kerajaan negeri Sabah.
Karya berjudul "How the Sabah State Government Suppresses Protests" itu mendokumentasikan tindakan pihak berkuasa negeri menghalang demonstrasi antirasuah yang dianjurkan oleh pelajar universiti di Sabah.
Salah seorang juri, Ketua Pengarang Berita Bahasa Inggeris Malaysiakini, Zikri Kamarulzaman, memuji filem itu kerana ketepatan masanya dan penyelidikan yang mendalam.
“Penyampaiannya kukuh dari segi teknikal dan kandungan. Ada profesional di luar sana yang hasil kerjanya pun tidak setanding ini. Syabas,” katanya.
Tempat kedua dimenangi oleh Noor Ainun Jariah melalui filem pendeknya, "The Yasmin Effect: A Digital Changemaker's Story", yang mengisahkan Sharifah Hani Yasmin dan penubuhan One Step Closer (OSC) semasa pandemik bagi menawarkan khidmat kaunseling pekerjaan percuma kepada golongan menganggur.

Ian Yee, pengasas bersama portal bebas The Fourth dan anggota panel juri, berkata:
"Usaha untuk projek ini sangat mengagumkan. Pengarah tidak sekadar menumpukan kepada tokoh individu, tetapi turut meneroka tema lain seperti kerja-kerja penjagaan tidak berbayar, yang banyak dihadapi wanita di Malaysia — satu pendekatan kewartawanan yang baik.”
Namun, dia mencadangkan agar sudut kamera semasa temu bual dan penggunaan grafik diperbaiki, serta rakaman stok dikurangkan.
Sementara itu tempat ketiga pula dimenangi oleh Nor Alya Khairina Mustafa Anuar dari Pulau Pinang menerusi filemnya "From Langkawi to Baku”. Ia mengisahkan seorang guru sekolah rendah di Langkawi yang menerapkan kesedaran alam sekitar dalam kalangan pelajarnya sebagai usaha mempromosikan pendidikan iklim.
Finalis lain turut menerima hadiah sagu hati atas penyertaan mereka:
Daneyaa Ganesan – Voices of Change: Nadine Azman on Feminism, Voting, and Activism
Gareth Woo Yun Hao – How One Malaysian Youth Pivoted from Law to Combat Racism
Najwa Farhana Binti Yahya – No Child Left Behind – Voices of Champions for Forgotten Classrooms
Nur Hidayahtul Aisyah – The Unfinished Painting (Lukisan Yang Tidak Siap)
Nurfatihah Irdina Binti Adlan – A Story of Upcycled Fashion Artisans in Malaysia
Poongkodi A/P Rabichandran – Stray Guardians: A Malaysian Couple’s Shelter of Hope
Telford Engan Tan – Sape – A Beacon of Unity
Program ini turut mendapat sokongan Suruhanjaya Tinggi Australia, Monash University Malaysia dan inisiatif Hari Wartawan Nasional (HAWANA) oleh Kementerian Komunikasi.

“Demokrasi dan peranan media sangat penting bagi identiti Australia dan cara hidup kami. Ia memastikan demokrasi kami kekal kukuh dengan ketelusan sebagai asas utama.
"Kami ingin berkongsi kisah bersama mengenai demokrasi dan perkembangannya dengan Malaysia, dan inilah antara sebab kami menjalinkan kerjasama rapat dengan media – termasuk tahun ini yang menandakan ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik antara Australia dan Malaysia," kata Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Danielle Heinecke.
Young Creator Fellowship 2025 terbahagi kepada dua fasa.
Pada 15 dan 29 Jun, seramai 30 peserta terpilih menyertai latihan kewartawanan dalam talian dan menghantar cadangan filem pendek bertemakan Changemakers.
Sepuluh peserta terbaik disenarai pendek untuk ke fasa seterusnya, menerima bimbingan daripada empat jurulatih dan diberikan tempoh dua minggu untuk menyiapkan filem mereka.
Kesemua finalis kemudiannya menyertai residensi tajaan penuh di Kuala Lumpur dari 16 hingga 18 Julai, di mana mereka berpeluang berinteraksi dengan pihak media, melawat organisasi berita utama seperti Media Prima, RTM, Astro Awani dan Bernama, serta membentangkan karya mereka dalam sesi tayangan dan majlis penyampaian anugerah yang diadakan di Monash University Malaysia.

