malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
CEO GLC didakwa bersama jet peribadi: Umno Sabah tuntut penjelasan
Diterbitkan:  Jul 19, 2025 6:37 PM
Dikemaskini: 10:37 AM
ADS

Umno Sabah hari ini menuntut penjelasan berhubung gambar yang didakwa memaparkan pengurusan tertinggi Sabah Mineral Management (SMM) di sebelah sebuah jet peribadi yang dikatakan milik jutawan batu arang Indonesia.

Pengarah Komunikasi Strategik Umno Sabah Datu Rosman Datu Ahir Zaman membangkitkan sejumlah persoalan berhubung gambar itu, yang menurutnya telah menjejaskan reputasi SMM - yang merupakan milik penuh kerajaan negeri - dan juga kepercayaan rakyat terhadap kerajaan negeri.

“Desas-desus mengatakan CEO SMM, Natasha Sim menikmati perjalanan mewah bernilai RM400,000 menaiki jet peribadi yang dikatakan ditaja oleh sebuah syarikat Indonesia yang terlibat dalam industri arang batu. Betul atau tidak?

“Persoalan seterusnya adalah adakah lembaga pengarah SMM dimaklumkan atau memberikan kelulusan rasmi terhadap perjalanan luar negara ini?

“Apakah objektif sebenar perjalanan tersebut? Adakah lawatan kerja atau rundingan pelaburan? atau ada rundingan belakang?” soalnya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Datu Rosman Datu Ahir Zaman

Semalam, Malaysiakini melaporkan satu gambar tersebar, memaparkan beberapa individu bersama bagasi di sebelah sebuah jet peribadi.

Gambar itu didakwa memaparkan Sim, setiausaha syarikat Emily Chong, dan taikun balak Sabah Elbert Lim berdiri di sebelah jet yang dikatakan milik seorang jutawan arang batu Indonesia.

Adun Warisan Justin Wong menyifatkan gambar tersebut sebagai pencetus skandal baru yang melanda SMM - yang sebelum ini terpalit dengan skandal lesen mineral - manakala Pemuda Bersatu Sabah menggesa SPRM menyiasatnya.

Sebelum ini, Sim menyangkal dakwaan berkenaan jet peribadi itu setelah bekas CEO SMM, Jontih Enggihon membuat laporan polis pada 29 November lalu.

“Saya secara tegas dan tanpa syarat menafikan semua tuduhan salah laku terhadap saya. Ini adalah tuduhan yang tidak berasas dan berniat jahat yang nampaknya merupakan usaha untuk menjejaskan karakter dan reputasi saya.

“Saya mengalu-alukan dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada sebarang siasatan berkaitan perkara ini,” kata Sim.

Sementara itu, Datu Rosman mempersoalkan jika Lim - yang didakwa dirakam dalam gambar itu - ada “kepentingan tersembunyi” dalam mana-mana projek melibatkan sumber asli Sabah.

Adakah beliau terlibat dalam proses ‘melobi’ pihak SMM untuk mendapatkan akses kepada konsesi mineral?” soalnya lagi.

Persoalan yang paling mustahak, katanya lagi, adalah sama ada Ketua Menteri Hajiji Noor atau menteri berkaitan dimaklumkan atau membenarkan perjalanan yang didakwa berlaku itu.

“Sebagai GLC yang bertanggungjawab mengurus sumber mineral di Sabah, integriti dan akauntabiliti serta ketelusan dalam menjalankan operasi perlu sejajar dengan undang-undang dan piawaian etika,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen