malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Penswastaan parkir: PBT pihak paling rugi, kata Pemuda MCA Petaling Jaya
ADS

Pemuda MCA Petaling Jaya membantah rancangan kerajaan Selangor di empat pihak berkuasa tempatan (PBT), termasuk Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), dengan mendakwa banyak perkara yang tidak telus dalam rancangan tersebut.

Menyifatkannya sebagai merugikan MBPJ, Ketua Pemuda MCA Petaling Jaya, Andy Teoh Tuck Wah juga mempersoalkan tindakan kerajaan negeri yang membuat pengumuman berkenaan Sistem Parkir Pintar itu walau ia masih belum dimuktamadkan.

"Dari segi agihan pulangan (parkir) PBT adalah pihak yang paling rugi. 

“Sekarang PBT dapat 90 peratus daripada caj parkir. Dengan penstrukturan baru, 40 peratus kembali kepada PBT dan selebihnya kepada syarikat dan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (iaitu sebanyak 10 peratus).

"Jadi ini merosotkan pulangan PBT. Apa implikasinya nanti?" soalnya dalam sidang media di hadapan bangunan MBPJ di Petaling Jaya, hari ini.

Pada 15 Julai lalu, Exco Selangor Ng Suee Lim berkata perbincangan masih diteruskan berhubung rancangan itu, dengan perjanjian muktamad dijangka ditandatangani Ogos ini.

Ng menjelaskan sistem parkir baru itu melibatkan kerjasama tiga pihak iaitu PBT, anak syarikat MBI, iaitu Rantaian Mesra Sdn Bhd – yang akan bertindak sebagai penyelaras sistem – dan syarikat konsesi yang akan mengendalikan operasi di lapangan.

Selain MBPJ, tiga lagi PBT yang terlibat dalam rancangan itu adalah Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Susulan bantahan sejumlah pihak, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari sebelum ini berkata kebimbangan yang dibangkitkan itu akan dipertimbangkan.

Justeru itu, Teoh menggesa kerajaan Selangor untuk mengadakan dialog dengan masyarakat setempat sebelum rancangan itu dilaksanakan.

“Tolong gatung terlebih dulu pelaksanaannya, dedahkan terma perjanjian kepada umum supaya rakyat boleh akses, dialog dengan orang ramai dan dengar apa kata mereka,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen