Aktivis pro-PN, Syarul Ema Rena Abu Samah atyau yang lebih dikenali sebagai Ratu Naga hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya kira-kira jam 2.30 petang tadi untuk memberi keterangan berhubung hantarannya di media sosial dan didakwa mengkritik Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Peguamnya yang juga Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty (LFL), Zaid Malek, berkata Ratu Naga disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Syarul Ema memberikan keterangan atau pun dirakam percakapannya. Dia diajukan sebanyak 40 soalan semua sekali manakala telefon bimbitnya disita oleh pihak MCMC (Suruhanjaya Komunikas dan Multimedia).
“Apa yang kita tahu dan disahkan ialah Syarul Ema disiasat mengikut seksyen 233 berhubung pautan yang dimasukkan dalam laman sosial Instagram milik beliau yang menyentuh tentang peranan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam isu kehakiman yang membelengu semua rakyat Malaysia pada masa ini,” katanya kepada Malaysiakini.
Zaid berkata sesi rakaman percakapan terhadap Ratu Naga mengambil masa selama lebih tiga jam itu selesai kira-kira jam 5.40 petang.
Katanya, Ratu Naga juga memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berhubung perkara tersebut.
Mengulas lanjut, Zaid turut menzahirkan kebimbangan berhubung tindakan pihak berkuasa menyiasat individu yang dianggap mengutarakan pandangan berkaitan kepentingan awam seperti krisis kehakiman.

“Kita kena utarakan kenapa siasatan ini harus dijalankan, sebab krisis kehakiman ini adalah satu isu kepentingan awam yang telah disuarakan, kebimbangan awam yang disuarakan pelbagai pihak, daripada rakyat marhaen hingga daripada peguam sendiri yagn berarak pada 14 Julai lagi untuk menyuarakan kegusaran mereka tentang isu krisis kehakiman ini.
“Apakah tujuan dan sebab untuk menyiasat Syarul Ema yang memuat naik isu berkenaan walaupun video tersebut menyentuh dan mengkritik perdana menteri itu tidak menjadi masalah.
“Ia bukan satu jenayah untuk mengkritik seorang perdana menteri,” katanya.
Menurut Zaid, perdana menteri juga tidak kebal daripada kritikan, dan pada masa sama anggota kerajaan tidak boleh menggunakan pihak berkuasa untuk menjaga reputasi ataupun integriti mereka.
“Mereka adalah pihak kerajaan dan tanggungjawab mereka adalah terhadap rakyat.
“Apabila rakyat menyuarakan kebimbangan mereka –terutamanya isu penting dalam negara iaitu kehakiman – kenapa perlu adanya kesan jenayah terhadap orang yang ingin menyuarakan pendapat, kritikan atau kebimbangan mereka?” katanya.
Ada hak untuk bersuara
Tambah Zaid, perkara sedemikian tidak sepatutnya berlaku kerana ia jelas bertentangan dengan Perkara 10 Perlembagaan Persatuan yang memelihara hak kebebasan bersuara rakyat.
“Ia juga bukanlah satu perkara yang sepatutnya berlaku di bawah kerajaan pimpinan Anwar, sebab semasa jadi pebangkang, dia dan PH juga menentang seksyen 233 yang digunakan kepada Syarul Ema ini.
“Jadi, dimanakah ketelusan, moral dan prinsip mereka apabila semasa menjadi kerajaan mereka menggunakan seksyen-seksyen tersebut terhadap pengkritik mereka pula,” tegasnya.
Sehubungan itu, Zaid berkata, pihaknya amat menentang langkah kerajaan menyiasat aktivis terbabit kerana ia boleh dianggap penindasan.
Katanya pengkritik kerajaan tidak sepatutnya “diheret” ke balai polis atau mana-mana pejabat pihak berkuasa serta dilayan seperti penjenayah.
“Rakyat ada hak untuk bercakap,” katanya.
Tambah Zaid, apa yang lebih membimbangkan apabila siasatan tersebut dibuat hanya kerana Ratu Naga memuat semula hantaran pihak lain.
Tindakan itu, katanya, menunjukkan kerajaan bukan saja menghalang seseorang bersuara malah tidak membenarkan rakyat berkongsi pendapat atau pandangan.
“Jadi, dimanakah janji-janji reformasi (sebelum ini)? Kerajaan hari ini sudah menjurus kepada kerajaan kuku besi, yang menegah orang daripada memberi pendapat,” tambahanya.
Sebelum ini, Ratu Naga dilaporkan memuat naik sebuah video yang didakwa menyentuh isu krisis kehakiman negara.
Berdasarkan video yang dikongsikan itu, Anwar didakwa diberi kuasa untuk memilih ketua hakim negara ketika dirinya sendiri mempunyai kes mahkamah
Dalam video tersebut, Anwar turut didakwa mempunyai kepentingan dalam menentukan siapa yang menghakimi kes melibatkan dirinya

