malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PM: Nama Terrirudin tak pernah pun diusul jadi Ketua Hakim Negara
Diterbitkan:  Jul 18, 2025 4:28 PM
Dikemaskini: 8:54 AM
ADS

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata nama hakim Mahkamah Persekutuan Ahmad Terrirudin Mohd Salleh tidak pernah diusulkan untuk menjadi Ketua Hakim Negara.

Anwar berkata spekulasi itu hanya ditimbulkan oleh peguam yang bermain politik.

"Ada kononnya nama-nama yang ditonjolkan, saya boleh sebutlah Terrirudin, seorang mantan Peguam Negara yang banyak menjalankan tugas dengan cemerlang dan sekarang hakim Mahkamah Persekutuan.

"Tetapi kerana beliau punya banyak tahun lagi, nama beliau tidak pernah pun diusulkan.

"Jadi dari mana (timbul spekulasi)? Hanya dari sebaran daripada kalangan tokoh-tokoh peguam yang berpolitik. Saya tidak fikir ini gesaan daripada semua. Jadi saya harap dengan ini menjernihkan keadaan," katanya seperti dilapor Berita Harian.

Pada 13 Julai, bekas timbalan presiden PKR Rafizi Ramli memberi amaran bahawa hakim kanan yang dituduh campur tangan kehakiman mungkin menjadi Ketua Hakim Negara tidak lama lagi.

Rafizi meramalkan bahawa ini akan bermula dengan pemangku Ketua Hakim Negara Hasnah Hashim dan pemangku Presiden Mahkamah Rayuan Zabariah Yusof secara rasmi dilantik ke jawatan itu, manakala hakim terbabit akan dicalonkan secara rasmi sebagai hakim besar Malaya.

Bagaimanapun, dia menyatakan bahawa Hasnah dan Zabariah dilanjutkan tempoh enam bulan tempoh perkhidmatan mereka - dan masing-masing dijadualkan bersara pada November dan Oktober.

Ini, katanya, akan membuka pintu kepada hakim berkenaan untuk naik pangkat semula, menjadi Ketua Hakim Negara.

Semasa Rafizi menamakan hakim itu, Malaysiakini merahsiakan identitinya sementara menunggu maklum balasnya.

Semalam, hakim Mahkamah Rayuan Wan Ahmad Farid Wan Salleh dinamakan sebagai Ketua Hakim Negara yang baru, dengan upacara mengangkat sumpah dijadualkan pada 28 Julai.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan turut mengesahkan dua lagi pelantikan kanan kehakiman: Hakim Mahkamah Persekutuan Abu Bakar Jais sebagai presiden Mahkamah Rayuan, dan Hakim Mahkamah Rayuan Azizah Nawawi sebagai Hakim Besar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak.

Sehubungan itu, Anwar mengecam pengkritiknya dan menggesa mereka berhenti membuat tohmahan tanpa merujuk kepada fakta.

Dia mengingatkan orang ramai bahawa badan kehakiman adalah tonggak kritikal demokrasi Malaysia, selain demokrasi berparlimen dan raja-raja berperlembagaan.

"Jadi siapa yang mencerca memfitnah, merosakkan krisis badan kehakiman? Krisis apa? Saya tidak buang mana-mana hakim, saya tak hantar hakim ke tribunal, saya tidak mengganggu-gugat mana-mana keputusan, saya tak arah mana-mana Ketua Hakim Negara dan hakim mahkamah rayuan seperti mana pernah berlaku dahulu," katanya.

Di sebalik perkembangan semasa, Rafizi mengulangi gesaannya sebelum ini bahawa kerajaan perlu membentuk suruhanjaya siasatan diraja (RCI) dan jawatankuasa pilihan khas parlimen (PSSC) mengenai badan kehakiman, menekankan bahawa kontroversi baru-baru ini telah menonjolkan keperluan mendesak untuk pembaharuan.

Sambil mengalu-alukan pelantikan badan kehakiman yang baharu, dia berkata ia tidak segera menyelesaikan isu sedia ada mengenai pelantikan kehakiman, termasuk kuasa perdana menteri untuk menolak syor yang dibuat oleh Jawatankuasa Pelantikan Kehakiman mengenai pelantikan kehakiman.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen