Persatuan Kemajuan Demokrasi Teoh Beng Hock menggesa orang ramai menolak permohonan maaf Suruhanjaya Pencegana Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kematian Teoh dan melabelkannya sebagai sekadar "pertunjukan perhubungan awam".
Pengerusi persatuan itu, Ng Yap Hwa, berkata rakyat Malaysia harus mencontohi keazaman veteran DAP, Lim Kit Siang, menolak permohonan maaf serupa daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu Abu Kassim Mohamed.
Dalam satu kenyataan hari ini, Ng turut menggesa kerajaan membawa pakar antarabangsa untuk menyiasat semula kes melibatkan pembantu exco Selangor berkenaan.
“Ketika itu bekas Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Kit Siang, mengeluarkan kenyataan mengkritik SPRM kerana menunggu setahun sebelum mengucapkan takziah dan menganggapnya sebagai tidak ikhlas.
"Lima belas tahun kemudian, SPRM terus mengadakan praktik perhubungan awam.
“Kali ini, walaupun mereka menambah perkataan ‘memohon maaf’ dan menawarkan ‘sumbangan ihsan’, mereka masih enggan menangani perlakuan pegawai yang menahan dan menyoal siasat Teoh Beng Hock, individu yang paling mungkin bertanggungjawab atas kecederaan lehernya dan menyebabkan dia jatuh sehingga maut, namun masih tidak dihukum sehingga hari ini.
"Kami kini menggesa kerajaan – yang DAP adalah sebahagian daripadanya – untuk untuk menegakkan semangat itu dan menerima gesaan keluarga Teoh menjemput pakar penyiasatan jenayah terkenal antarabangsa ke Malaysia untuk menyiasat semula kes itu," katnya.
Pada 16 Julai 2010 – yang juga genap setahun kematian Teoh – Abu Kassim dilaporkan mengeluarkan kenyataan berbahasa Cina menyatakan SPRM "berkongsi kesedihan dan kekecewaan yang sama seperti keluarga Teoh Beng Hock" dan merasakan "keperitan dan kesedihan" atas kejadian tragis itu.
Abu Kassim dilaporkan berkata, SPRM juga akan mematuhi dapatan inkues terhadap kematian Teoh, dan tidak akan melindungi mereka yang terlibat, selain berusaha untuk meningkatkan langkah keselamatan dan menambah baik prosedur pengendalian saksi.
Bagaimanapun persatuan itu mendakwa pembaharuan tersebut “kosmetik semata-mata dan tidak mempunyai sebarang makna substantif."
Dua hari lalu – pada ulang tahun ke-16 kematian Teoh – SPRM mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka pertamanya kepada keluarga pembantu politik itu atas kesakitan dan penderitaan mereka.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki turut mengumumkan kesediaan agensi antirasuah itu untuk memberikan "sumbangan ihsan" kepada keluarga Teoh, khususnya untuk menampung keperluan kebajikan dan pendidikan anak tunggalnya.
Keluarga Teoh bagaimanapun menolak permohonan maaf dan tawaran pampasan SPRM, menegaskan mereka mahukan keadilan untuk kematiannya, bukan wang.
Untuk menyanggah tawaran berkenaan, mereka mengemukakan cadangan "logik pampasan" SPRM.
Cadangan itu ialah SPRM menyerahkan nyawa lima pegawai mereka yang terlibat dalam kes Teoh, dan mereka akan membayar pampasan untuk keluarga pegawai terbabit.

