Ahli Parlimen PKR Taufiq Johari mengecam pihak yang sebelum ini mendakwa Perdana Menteri Anwar Ibrahim campur tangan dalam pelantikan tertinggi badan kehakiman, termasuk dakwaan yang dia cuba melantik Hakim Mahkamah Persekutuan Ahmad Terrirudin Salleh sebagai Ketua Hakim Negara yang baru.
"Ada yang tuduh perdana menteri cuba letakkan bekas peguam negara dan kini hakim Mahkamah Persekutuan, Terrirudin sebagai ketua hakim negara.
“Tetapi kini dakwaan itu terbukti tidak benar. Sudah pasti para pengkritik akan mencari taktik lain pula," kata Ahli Parlimen Sungai Petani itu.
Menurut Taufiq, pihak yang mengkritik itu juga mengabaikan hakikat yang sebelum sebarang pelantikan dibuat, Anwar telah menyatakan komitmen untuk mengkaji semula Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 bagi meningkatkan ketelusan.
Menyasarkan pengasas bersama Lawyers for Liberty (LFL) Latheefa Koya yang pernah menjadi pemimpin PKR, Taufiq menyifatkan kenyataan Latheefa bahawa isu itu sebagai "skandal kehakiman terbesar dalam sejarah" sebagai mengecewakan.
Dengan nada menyindir, dia berkata Latheefa mungkin lupa krisis kehakiman 1988 apabila Ketua Hakim Negara ketika itu, Salleh Abas digantung dan akhirnya dipecat.
"Malah, ketika itu Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menggantung lima orang hakim Mahkamah Agung semasa ‘ibu segala krisis perlembagaan’ yang sebenar.
“Ada juga krisis kehakiman 2007 melibatkan VK Lingam, apabila video yang dirakam secara rahsia menunjukkan seorang peguam didakwa berunding tentang pelantikan dan kenaikan pangkat hakim melalui perbualan telefon dengan seorang hakim kanan.
"Dan pada 2021, hakim Mahkamah Rayuan Hamid Sultan Abu Backer digantung selepas dia membuat dakwaan berlakunya campur tangan dalam badan kehakiman," katanya lagi.

Terdahulu hari ini, Hakim Mahkamah Rayuan, Wan Ahmad Farid Wan Salleh dilantik sebagai Ketua Hakim Negara yang baru, manakala Abu Bakar Jais dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan Azizah Nawawi sebagai Ketua Hakim Sabah dan Sarawak.
Berhubung pengumuman itu, Taufiq berharap ia akan menghentikan apa yang disifatkannya sebagai spekulasi dan sindiran bermotif politik yang mencemarkan integriti proses pelantikan kehakiman.
"Hal terbaik yang kita boleh lakukan sekarang ialah memberi ruang kepada para hakim yang baru dilantik ini menjalankan tugas mereka sebaik mungkin tanpa mempertikai kesahihan pelantikan. Biarlah mereka dinilai berdasarkan kebijaksanaan dalam penghakiman mereka," katanya.
Sebelum ini, Latheefa menyeru kerajaan agar segera membentangkan Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan bagi melucutkan kuasa Perdana Menteri dan pihak eksekutif daripada sebarang pengaruh dalam pelantikan hakim.
Ia susulan kebocoran dokumen yang didakwa merupakan minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), yang digambarkannya sebagai “skandal kehakiman terbesar dalam sejarah.”

