Seorang pereka grafik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan membuat hantaran komunikasi jelik yang menghina Islam pada Jun 2023.
Yeo Li Yin, 47, didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi bersifat jelik dengan niat menyakiti hati orang lain menggunakan aplikasi Twitter (kini dikenali X) dengan nama profil Liyin Yeo pada 19 Jun 2023.
Hantaran itu kemudian dilihat di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman di Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada 2.15 petang 22 Jun 2023.
Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah subseksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya, serta hendaklah didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Terdahulu, timbalan pendakwa raya Faizah Khalilah Zaberi menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin, namun peguam Rajsurian Pillai yang mewakili Yeo memohon jumlah jaminan rendah atas alasan anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap selain menjaga bapanya berusia 80 tahun.
Hakim Izralizam Sanusi membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 Sept ini untuk sebutan semula kes.
- Bernama

