malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Rafizi: Gesaan tubuhkan RCI, PSSC kehakiman tetap diteruskan
ADS

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, sekali lagi menggesa penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) berkenaan badan kehakiman, dengan menegaskan bahawa kontroversi terkini menunjukkan keperluan mendesak untuk reformasi.

Bercakap kepada Malaysiakini, Rafizi berkata pelantikan terbaru dalam badan kehakiman, walaupun dialu-alukan, ia tidak serta-merta menyelesaikan isu sedia dalam proses pelantikan hakim.

Justeru, katanya, gesaan beliau bersama lapan lagi ahli parlimen PKR berhubung perkara itu masih diteruskan.

“Gesaan untuk RCI dan PSSC kekal kerana itu adalah tanggungjawab kerajaan persekutuan untuk melaksanakannya.

“Sebab itu, jika anda lihat beberapa perenggan terakhir dalam kenyataan asal, kami menyatakan bahawa tumpuan besar terhadap badan kehakiman minggu lalu menunjukkan keperluan mendesak untuk reformasi — agar ia tidak berulang lagi.

“Antara perkara yang kami utarakan termasuklah kuasa perdana menteri untuk mengabaikan cadangan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) perlu diperketatkan; dan perdana menteri juga perlu memberikan alasan rasmi,” tambahnya, merujuk kepada keperluan justifikasi sekiranya cadangan JAC ditolak.

“Jadi ketiga-tiga perkara tersebut perlu dibincangkan atau diteroka melalui RCI atau PSSC. Kami masih menggesa pihak eksekutif untuk memainkan peranannya.

“RCI dan PSSC ialah langkah seterusnya kerana sebarang penambahbaikan dalam proses pelantikan hakim hanya boleh datang daripada RCI dan PSSC — bukan daripada JAC dalam bentuk sekarang,” jelas Rafizi lagi.

‘Kurangkan kuasa PM lantik hakim’

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, badan pemantau pilihan raya Bersih menuntut kerajaan segera melaksanakan reformasi lantikan kehakiman turutamanya bagi mengurangkan kuasa perdana menteri dalam lantikan para hakim.

"Ini termasuklah dengan mengiktiraf Suruhanjaya Lantikan Kehakiman (JAC) sebagai badan yang diiktiraf Perlembagaan Persekutuan.

"Komposisi dalam JAC juga perlu dirombak semula untuk mengurangkan kuota lantikan Perdana Menteri dalam keanggotaan JAC dengan memasukkan wakil daripada Majlis Peguam Malaysia, wakil Sabah Law Society dan Advocate Associates of Sarawak, serta wakil daripada ahli akademik dan anggota masyarakat sivil yang berkelayakan.

"Selain itu, dari sudut pelantikan, Perdana Menteri perlu diwajibkan untuk memberikan alasan yang berasas kepada awam jika terdapat penolakan calon Hakim yang dicadangkan oleh JAC dan beliau hanya boleh menolaknya sebanyak sekali sahaja,” katanya.

Bersih juga menegaskan bahawa kerajaan harus melaksanakan janji dan komitmen untuk menghormati doktrin pengasingan kuasa dengan menambahbaik sistem sedia ada.

"Krisis kehakiman terburuk yang berlaku pada tahun 1988 harus dijadikan sempadan oleh semua pihak khususnya kerajaan yang memperlihat rakyat sudah tidak lagi menghormati badan kehakiman,” katanya.

Terdahulu, Rafizi dan lapan ahli parlimen PKR menyeru Ketua Hakim Negara yang baru, Wan Ahmad Farid Wan Salleh, untuk memperkukuh kebebasan kehakiman dengan menangani lima isu utama, termasuk mengisi 31 kekosongan jawatan hakim dan memastikan pelantikan dibuat berdasarkan merit dan senioriti.

Mereka juga mencadangkan reformasi untuk mengehadkan kuasa perdana menteri dalam menolak calon JAC, mencadangkan perwakilan Majlis Peguam dalam JAC secara automatik, dan penglibatan Parlimen dalam proses pengesahan pelantikan kehakiman.

Ahli Parlimen itu turut mengingatkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa kebimbangan terhadap kebebasan kehakiman masih belum diselesaikan meskipun Wan Farid telah dilantik sebagai ketua hakim negara.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen