malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Hadkan tempoh KM Sabah: Adun Warisan selar janji kitar semula GRS
Diterbitkan:  Jul 18, 2025 11:48 AM
Dikemaskini: 3:48 AM
ADS

Seorang Adun Warisan hari ini membidas Timbalan Setiausaha Agung GRS, Armizan Ali kerana didakwa mengitar semula janji lama kepada rakyat Sabah.

Ini susulan sidang media oleh Ahli Parlimen Papar itu semalam yang menggesa rakyat menyokong GRS dalam pilihan raya negeri akan datang supaya jawatan Ketua Menteri dihadkan kepada dua penggal.

Dalam satu kenyataan, Adun Sri Tanjong, Justin Wong menyifatkan ucapan itu sebagai taktik GRS menggunakan slogan kosong dan mempermainkan rakyat demi keuntungan politik.

"Cadangan untuk mengehadkan jawatan Ketua Menteri Sabah kepada dua penggal bukanlah sesuatu yang baru. Ia telah dicadangkan oleh Pakatan Harapan pada tahun 2021 melalui satu memorandum persefahaman bersama Ketua Menteri Hajiji Noor.

"Namun, sepanjang lima tahun pentadbiran mereka, di mana mereka memiliki sokongan dua pertiga dalam Dewan Undangan Negeri, kita tidak melihat sebarang tindakan untuk menunaikan janji tersebut.

"Sekarang, apabila pilihan raya negeri semakin hampir, mereka tiba-tiba mengulangi janji itu seolah-olah ia sesuatu yang baru.

"Bukankah ini satu bentuk penipuan terhadap rakyat?" katanya.

Semalam Armizan memberitahu media selepas satu acara di Papar bahawa had penggal jawatan Ketua Menteri adalah antara janji yang telah digariskan GRS dalam manifesto mereka untuk pilihan raya negeri akan datang.

"Sehubungan itu, GRS perlukan kemenangan besar lebih dua pertiga majoriti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang," katanya seperti yang dipetik oleh Berita Harian.

Dalam pada itu Wong turut mempersoalkan prestasi kerajaan negeri yang diterajui GRS.

"Jika mereka mengamalkan dasar yang baik, sudah tentu kita akan merasai peningkatan dalam kualiti hidup kita.

"Tetapi apa yang berlaku hari ini adalah sebaliknya – kita berdepan gangguan bekalan elektrik dan air yang kerap, keadaan jalan raya yang teruk, sistem komunikasi yang lemah, dan infrastruktur asas yang berada pada tahap yang mengecewakan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen