malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tiada lagi harimau dalam DAP, hanya kucing manja - Gerakan Perak
Diterbitkan:  Jul 18, 2025 10:50 AM
Dikemaskini: 2:50 AM
ADS

Timbalan Pengerusi Gerakan Perak, Naran Singh menyuarakan kritikan pedas ke atas DAP, dengan mendakwa parti itu mengkhianati semangat keadilan dan harapan rakyat Malaysia yang dahulunya melihat DAP sebagai pihak yang berani menentang penyalahgunaan institusi.

Naran membidas pemimpin-pemimpin parti itu atas tindakan yang disifatkannya sebagai simbolik dan kosong, dengan tunduk sebagai tanda “sedih dan hormat” atas kematian Teoh Beng Hock, tanpa menuntut pertanggungjawaban sebenar daripada pihak yang bertanggungjawab.

Naran turut menyatakan kekeliruan terhadap kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke bahawa “sumbangan ihsan” daripada kerajaan tidak bermakna usaha menuntut keadilan untuk mendiang Teoh telah berakhir.

“Apa maksud dia dengan kenyataan itu? Siapa yang akan memperjuangkan keadilan yang selama ini dituntut DAP sebelum mereka berkuasa?” soalnya dalam kenyataan kepada Malaysiakini.

Naran menegaskan bahawa keluarga Teoh, bersama-sama rakyat Malaysia yang menjadi penyokong setia DAP, tidak menaruh kepercayaan kepada parti itu hanya untuk melihat pemimpinnya tunduk dalam diam.

Naran Singh

“Rakyat tidak memberi kuasa kepada DAP hanya untuk melihat pemimpinnya tunduk dalam dukacita. Mereka mengharapkan parti yang akan berdiri teguh, bersuara lantang dan menuntut jawapan daripada sistem.

“Mereka mengundi parti yang dulu turun ke jalan raya, lantang di Parlimen, dan berani berdepan dengan kuasa. Mereka mahukan pejuang keadilan, bukan perunding sumbangan ihsan,” katanya lagi.

‘Tiada lagi harimau dalam DAP’

Kini, kata Naran lagi, semangat itu telah pudar. Dia juga membangkitkan mendiang Pengerusi DAP Karpal Singh, yang dikenali sebagai “Harimau Jelutong”.

“Tragik apabila sebuah parti yang dahulu melahirkan harimau walaupun hanya dengan beberapa kerusi kini menjadi sarang kucing manja, walaupun memiliki 40 kerusi,” katanya

Dia juga menuduh DAP kini dalam keadaan selesa dan telah kehilangan taring sejak menjadi sebahagian daripada kerajaan.

Semalam, Loke bersama tiga lagi pemimpin DAP — Naib Pengerusi Teo Nie Ching, Ketua DAP Selangor Ng Sze Han, dan bekas bos Teoh, Ean Yong Hian Wah — tunduk selama kira-kira satu minit di penghujung sidang media.

Dalam sidang media itu, Loke berkata permohonan maaf secara terbuka yang dibuat SPRM kepada keluarga Teoh dan tawaran sumbangan kepada anak mendiang menunjukkan keikhlasan kerajaan.

Loke juga berkata tawaran sumbangan tersebut sama sekali bukan bermaksud kes berkenaan ditutup.

“Sumbangan ihsan itu adalah bantuan dan sumbangan daripada kerajaan kepada keperluan anak Teoh yang kini berusia 15 tahun.

“Ini adalah perkara yang kami harap keluarga Teoh boleh pertimbangkan, dan dengan penuh ikhlas, kami harap mereka boleh pertimbangkan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen