Penganalisis politik berpendapat gesaan dan cadangan yang dikemukakan oleh PAS kepada PN tidak boleh dipandangan ringan oleh pengerusi gabungan itu, Muhyiddin Yassin.
Malah Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomudin Bakar, berkata isu struktur organisasi yang dibangkitkan PAS bukan sekadar teknikal malah lebih kepada manifestasi awal kepada potensi pergeseran politik antara dua parti komponen teras dalam PN.
"PN wajar segera mengadakan mesyuarat penuh majlis tertingginya bagi menyelesaikan ketidaktentuan ini secara rasmi dan konsensus.
"Menangguh atau mengelakkan perbincangan hanya akan memperbesar ruang spekulasi serta membuka ruang konflik dalaman yang lebih sukar ditangani kemudian hari," katanya dalam satu temu bual yang dikongsi sebuah portal berita kepada Malaysiakini.
Dia berkata demikian ketika ditanya sama ada Muhyiddin atau Bersatu perlu mengambil serius atau boleh mengabaikan gesaan yang dibuat pimpinan PAS berhubung penstrukturan kepimpinan PN.
Sebelum ini Malaysiakini melaporkan PAS membuat cadangan agar dilakukan penstrukturan semula PN untuk memberikan Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainudin - yang merupakan ketua pembangkang di parlimen - kuasa operasi yang besar.

Melalui cadangan perubahan itu, sebuah jawatankuasa eksekutif yang diterajui oleh Hamzah akan dibentuk untuk mengawasi operasi PN, manakala Presiden PAS, Bersatu, Gerakan, dan Parti Rakyat India Malaysia mengekalkan peranan mereka dalam majlis tertinggi sedia ada.
Menurut sumber, langkah itu disarankan untuk meletakkan Hamzah sebagai calon perdana menteri dari PN, bersedia untuk mengambil tampuk pemerintahan jika gabungan itu menawan Putrajaya dalam PRU akan datang.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan menafikan rancangan sedemikian sedang dilaksanakan.
Minggu lalu pula Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Khairil Nizam Khirudin, turut dilaporkan berkata mereka mengemukakan cadangan supaya PN mewujudkan majlis presiden yang dianggotai semua pemimpin tertinggi setiap parti dalam gabungan terbabit.
Macam pembangkang swasta
Menurutnya, perkara itu sudah dimaklumkan kepada pucuk pimpinan Bersatu sebagai syor untuk menambah baik serta memperkasa struktur pentadbiran pembangkang.
Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, pula dilaporkan membuat penegasan betapa partinya mahu PN - khususnya Bersatu - melaksanakan konsep musyawarah dengan parti dalam gabungan itu sebelum sesuatu dasar mahu diumumkan.
Dia mendakwa antara isu dasar yang penting dan tidak dirundingkan dulu dengan mereka ialah calon perdana menteri daripada PN.
Katanya keputusan sebegitu ada yang diumumkan oleh Muhyiddin - selaku pengerusi - tanpa berunding terlebih dulu dengan PAS.
Hisomuddin berkata, Bersatu wajar mengambil pengajaran dan teladan daripada kegagalan Muafakat Nasional (MN) dahulu, yang turut bermula apabila PAS dan Umno gagal menyelaraskan pendirian secara berterusan melalui saluran formal.
Jelanya, tindakan Presiden PAS Abdul Hadi Awang ketika itu yang mula tidak menghadiri mesyuarat utama MN memberi isyarat jelas kepada kemerosotan kepercayaan dalaman, dan akhirnya membawa kepada keruntuhan gabungan tersebut.
"Justeru, langkah proaktif diperlukan untuk mencegah sejarah berulang dalam konteks PN hari ini," katanya.
Ditanya apakah kesan kepada masa depan PN jika konflik yang ada tidak diselesaikan segera, Hisomuddin berkata, ia boleh menimbulkan ketirisan dalam aspek koordinasi politik dan kelemahan dalam penyelarasan strategi blok pembangkang.
"Ketiadaan arah tuju dan kepimpinan kolektif yang kukuh akan memperlihatkan PN sebagai gabungan yang longgar dan tidak teratur.
"Lebih membimbangkan, kekosongan peranan pembangkang secara berkesan kini telah diisi oleh pihak lain, terutamanya figura seperti bekas Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, dan beberapa pemimpin kerajaan sendiri yang mengemukakan kritikan terbuka kepada Putrajaya.
"Fenomena ini menjadikan mereka seolah-olah 'pembangkang swasta' yang lebih aktif dan relevan dalam wacana awam.
“Dalam konteks ini, ketua pembangkang serta whip blok pembangkang PN kelihatan tenggelam dan tidak memainkan peranan semak imbang secara konsisten," kata Hisomuddin lagi.

