malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tunduk hormat DAP ada udang di sebalik batu - MIPP
ADS

Parti India Rakyat Malaysia (MIPP) mengesyaki ada udang di sebalik batu di sebalik gesaan DAP supaya keluarga mendiang Teoh Beng Hock menerima bantuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Presiden MIPP S Subramaniam berkata DAP takut hilang pengundi Cina pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

"Tindakan SPRM dan DAP adalah satu tindakan terdesak untuk meredakan pengundi Cina yang marah dengan kerajaan hari ini khususnya keengganan kerajaan membuka semula kes ini.

"Maka, DAP menggesa keluarga mendiang untuk menerima sumbangan ihsan daripada SPRM.

"Kesimpulannya, sekiranya keluarga menerima bantuan, maka DAP akan memberi pengundi Cina bahawa isu ini dah selesai," katanya kepada Malaysiakini pada Khamis.

Semalam, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke bersama beberapa lagi pemimpin kanan parti itu tunduk sebagai tanda sedih, memohon maaf dan menghormati keluarga mendiang Teoh.

Loke juga merayu kepada keluarga Teoh agar mempertimbangkan semula untuk menerima sumbangan pendidikan yang ditawarkan kepada anak mendiang susulan kematiannya pada 16 Julai 2009.

Teoh merupakan pegawai khas kepada bekas exco negeri itu Ean Yong Hian Wah ketika dia meninggal dunia.

Kelmarin, sempena ulang tahun ke-16 kematian misteri Teoh, SPRM buat pertama kali mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepada keluarga mendiang.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki turut mengumumkan kesediaan agensi antirasuah itu untuk memberikan sumbangan kepada keluarga Teoh,

Bagaimanapun, keluarga Teoh menolak permohonan maaf itu yang disifatkan tidak ikhlas. Mereka sebaliknya mahu tahu siapa yang menyebabkan kematian mendiang.

Sementara itu,  Subramaniam meminta DAP supaya tidak berpolitik dalam kematian Teoh.

"Saya lihat, DAP masih tak faham bahasa keluarga Teoh. Mereka bukan minta ‘sumbangan ihsan’ daripada kerajaan. Mereka cuma nak keadilan.

"Apa maksud keadilan di sini? Maksudnya, siasat semula kes ini bawah sudut mendiang Teoh kemungkinan di bunuh.

"Sekurang-kurangnya tahan lima pegawai SPRM yang terlibat untuk siasatan. Jadi, apa masalah kerajaan? Kenapa masih nak tarik tali," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen