Teka-teki mengenai individu yang akan menggalas jawatan Ketua Hakim Negara dan jawatan kehakiman utama lain akhirnya terjawab.
Dalam kenyataan media lewat tengah malam ini, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan memaklumkan bahawa berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja telah memperkenankan pelantikan hakim Mahkamah Rayuan Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai Ketua Hakim Negara yang baru.
Jawatan Presiden Mahkamah Rayuan pula akan diisi oleh Abu Bakar Jais, sementara Azizah Nawawi akan menggalas tugas sebagai Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak menggantikan hakim yang bakal bersara.
“Majlis penyampaian watikah pelantikan dan istiadat mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan dan sumpah setia di hadapan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong akan diadakan pada 28 Julai 2025 di Istana Negara,” katanya.
Malaysiakini sebelum ini melaporkan spekulasi Wan Ahmad Farid, 62, adalah antara calon untuk mengisi jawatan Ketua Hakim Negara yang kosong selepas persaraan wajib Tengku Maimun Tuan Mat.
Sebelum kerjaya kehakimannya, Wan Farid pernah berkhidmat sebagai timbalan menteri dalam negeri di bawah pentadbiran bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi.
Ketika dihubungi Malaysiakini, beberapa sumber undang-undang menyifatkan Wan Ahmad Farid sebagai hakim yang adil dan tidak berat sebelah.
Dia dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman pada 2015 dan kemudiannya berkhidmat sebagai hakim Mahkamah Tinggi dari 2019 hingga 2024. Sebelum menyertai badan kehakiman, Wan Ahmad Farid memegang pelbagai peranan politik, termasuk timbalan menteri dalam negeri dari Mac 2008 hingga April 2009, dan timbalan ketua Umno Kuala Terengganu pada 2001.
Antara keputusannya yang mencuri tumpuan ialah tindakan menarik diri daripada mendengar permohonan untuk membenarkan Queen’s Counsel (QC) dari UK mewakili bekas perdana menteri Najib Razak dalam rayuan berhubung kes rasuah SRC International bernilai RM42 juta. Wan Ahmad Farid ketika itu memetik konflik kepentingan, menyatakan bahawa seorang ahli keluarganya merupakan ahli parti politik Najib.
Pada 11 Mei 2023, dia memutuskan bahawa anak-anak kepada ibu tunggal Loh Siew Hong telah memeluk agama Islam secara sah di bawah undang-undang negeri Perlis, memetik afidavit daripada pihak berkuasa Islam negeri yang mengesahkan kanak-kanak itu telah membaca kalimah shahadah pada 2020.
Dalam satu lagi keputusan penting pada November 2023, Wan Ahmad Farid mengarahkan polis menyelesaikan siasatan mereka terhadap kematian Teoh Beng Hock pada 2009 dalam tempoh enam bulan, menganggap kelewatan dalam siasatan itu sebagai berlebihan. Dia sebelum itu juga membuat keputusan yang memihak kepada semakan kehakiman keluarga Teoh.

