malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'PM tiada alasan tak laksana titah adendum'
ADS

Seramai 160 Ketua Umno Bahagian dari seluruh negara malam ini menyatakan pendirian tegas bahawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaan tidak mempunyai sebarang alasan lagi untuk menangguhkan pelaksanaan titah adendum berhubung tahanan rumah Najib Razak, yang menurut mereka telah disahkan sah dari segi perundangan dan perlembagaan.

Ketua Umno Bahagian Wangsa Maju, Shafei Abdullah berkata merujuk kepada pengesahan bertulis oleh Istana Pahang pada 4 Januari 2025 serta keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 6 Januari 2025 yang turut memperakui kewujudan dan kesahan titah tersebut.

Dakwa Shafei tindakan bekas peguam negara Ahmad Terrirudin Mohd Salleh yang didakwa menyembunyikan titah itu selama lebih setahun adalah suatu pengkhianatan terhadap prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban, dan keluhuran Perlembagaan.

“Tindakan ini mencemar budi bicara Seri Paduka Baginda serta Raja-Raja Melayu, dan menafikan keadilan yang seharusnya diterima oleh Najib Razak.

“Sehubungan itu kami mendesak perdana menteri segera mengambil tanggungjawab penuh untuk melaksanakan titah adendum tersebut, iaitu membenarkan Najib menjalani baki hukuman melalui tahanan dalam rumah, sebagaimana yang telah diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16. Tiada sebarang alasan lagi untuk melengah-lengahkannya,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan khas bersama ketua-ketua bahagian Umno di Kuala Lumpur, malam ini.

Sementara itu, Shafei berkata, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) wajar ditubuhkan bagi menyiasat Ahmad Terrirudin selepas dikatakan menyembunyikan fakta dan dokumen berhubung kewujudan titah adendum.

"Sebagai penasihat undang-undang tertinggi kerajaan, Peguam Negara seharusnya menjunjung titah Raja dan mendokong keadilan, bukan menghalangnya.

“(RCI) perlu (ditubuhkan), tapi ia melambatkan cerita. Pada saya, laksanakan (titah adendum). Laporan polis dah dibuat tapi tak dilayan pun.

“Jadi, pelaksanaan titah adendum ini lebih penting daripada penubuhan RCI,” tegasnya.

Ketika ditanya tindakan lanjut sekiranya titah tersebut tidak diendahkan, katanya, kesemua 160 Ketua Umno Bahagian nekad akan meneruskan perjuangan mereka.

"We cross the bridge when we come to it (kita putuskan tindakan nanti apabila perlu)," katanya ringkas tanpa menjelaskan maksud sebenar di sebalik jawapan itu.

Terrirudin kini berkhidmat sebagai hakim Mahkamah Persekutuan.

Pada 6 Jan lepas, istana Pahang mengesahkan Yang di-Pertuan Agong sebelum ini, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mengeluarkan titah adendum berhubung tahanan rumah terhadap Najib.

Peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah membentangkan surat itu di hadapan Mahkamah Rayuan pagi ini.

Surat itu, yang ditandatangani oleh Pengelola Bijaya Diraja KDYMM Sultan Pahang, Ahmad Khirrizal Ab Rahman, mengesahkan bahawa Sultan Abdullah memerintahkan Najib menjalani baki tempoh penjaranya di bawah tahanan rumah.

Pada 11 Jan, Anwar mengakui bahawa peguam negara menerima surat berhubung titah adendum berkenaan.

Bagaimanapun, katanya selepas watikah itu diterima, Yang di-Pertuan Agong bertukar, dan peguam negara ketika itu menyerahkan surat itu kepada Istana Negara bagi membolehkan Agong baru, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, membuat keputusan.

Anwar juga menafikan kerajaan menyembunyikan titah adendum itu.

Sementara itu, Shafei malam ini turut mendesak Peguam Negara semasa Dusuki Mokhtar menarik balik permohonan rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Rayuan membenarkan Najib memulakan semakan kehakiman berhubung titah adendum yang membenarkannya menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Tambah Shafei lagi, semua 191 bahagian Umno di seluruh negara yang belum mengadakan persidangan masing-masing juga diminta supaya memasukkan usul khas berkaitan titah adendum tersebut dalam mesyuarat masing-masing.

"Usul itu penting sebagai bukti kesepakatan dan solidariti parti dalam mempertahankan institusi raja-raja Melayu serta menegakkan prinsip keadilan untuk semua," katanya.

Pada 11 Julai lalu, Umno memohon Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar agar titah adendum berkaitan tahanan rumah buat bekas perdana menteri itu dilaksanakan segera.

Pada hari yang sama, Anwar berkata kerajaan menghormati pandangan semua pihak berkaitan titah adendum, namun menegaskan dokumen itu tertakluk kepada proses mahkamah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen