Keluarga Teoh Beng Hock bertegas mahukan keadilan atas kematian tragis bekas pembantu politik itu, meski selepas permohonan maaf daripada SPRM dan pemimpin DAP tampil tunduk hormat menyatakan kesedihan.
Dalam catatan Facebook hari ini, adik Beng Hock, Teoh Lee Lan, menegaskan bahawa keluarga itu tidak sanggup menerima hakikat bahawa tidak banyak perkembangan dalam tuntutan mereka terhadap pihak berkuasa.
"Kami telah mendengar dua permohonan maaf sejak dua hari lalu.
“Bagaimanapun, (meski) DAP mesti berkongsi pandangan kami tentang keadilan untuk Beng Hock, kami lebih prihatin terhadap tuntutan utama yang masih belum dipenuhi - mencari kebenaran dan merealisasikan keadilan,” kata Lee Lan dalam catatan ringkas itu.
Memperincikan usaha keluarga mereka untuk mencari kebenaran dan keadilan untuk Beng Hock, Lee Lan berkata langkah sedemikian termasuk menjemput pakar penyiasatan jenayah antarabangsa untuk memulakan siasatan semula terhadap kematian Beng Hock.
Keluarga itu, bersama Persatuan Teoh Beng Hock untuk Kemajuan Demokratik (TBH-ADA), telah berulang kali meminta pakar sedemikian untuk mengetuai siasatan baru ke atas insiden itu sambil menggesa polis menyiasat semua sudut yang mungkin, termasuk pembunuhan.
Awal hari ini, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dan beberapa pemimpin parti, termasuk bekas orang atasan Beng Hock, Ean Yong Hian Wah, tunduk bagi menyatakan rasa hormat dan sedih kepada keluarga mendiang.

Loke juga merayu kepada keluarga Beng Hock untuk mempertimbangkan menerima "sumbangan" kerajaan atas kematian tragis bekas pembantu politik itu.
DAP telah dikecam kerana kekurangan perkembangan dalam kes kematian Beng Hock meski pemimpin parti itu telah berkempen secara besar-besaran mengenai tragedi berkenaan dalam beberapa siri pilihan raya.
Loke bagaimanapun berkata permohonan maaf secara terbuka yang tertunggak sekian lama oleh SPRM kepada keluarga Teoh semalam, dan tawaran untuk memberikan sumbangan bagi membantu anak lelaki Beng Hock, menunjukkan keikhlasan kerajaan Madani.
Dalam maklum balas pada hari yang sama terhadap tawaran SPRM itu, Lee Lan dan TBH-ADA memberitahu sidang akhbar bahawa keluarga itu amat sedih dan marah terhadap kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, yang disifatkannya "tidak ikhlas".
Malah, Lee Lan memberi perumpamaan mencadangkan tawaran balas untuk SPRM menyerahkan nyawa lima pegawai yang terlibat dalam kematian Beng Hock dan mereka pula anjurkan kempen crowdfunding untuk saudara mereka.
Pegawai yang terbabit pada masa itu ialah Timbalan Pengarah SPRM Selangor Hishamuddin Hashim, pegawai penyiasat Mohamad Anuar Ismail, serta pegawai SPRM Hairul Ilham Hamzah, Mohd Ashraf Mohd Yunus, dan Zulkefly Aziz.
Pada 2009, Beng Hock, yang ketika itu merupakan pembantu exco kerajaan negeri Selangor Ean Yong, ditemui mati selepas disoal siasat semalaman di ibu pejabat SPRM Selangor, yang ketika itu terletak di Plaza Masalam di Shah Alam.
Suruhanjaya siasatan diraja (RCI) 2011 memutuskan bahawa dia didorong untuk membunuh diri kerana soal siasat yang agresif. Bagaimanapun, pada 2014, Mahkamah Rayuan memutuskan kematiannya disebabkan atau dipercepatkan oleh perbuatan yang menyalahi undang-undang, termasuk pegawai SPRM.
Pada 21 Nov tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan polis menyelesaikan siasatan kes kematian Beng Hock dalam tempoh enam bulan.
Pada bulan Mei, Jabatan Peguam Negara akhirnya mengklasifikasikan kes itu sebagai tiada tindakan lanjut.

