Ibu bapa seorang pelajar sebuah sekolah menengah di Klang, Selangor, menggesa agar siasatan menyeluruh dijalankan bagi mengetahui “punca sebenar” kematian anak mereka dalam kejadian yang berlaku pada 27 Mei lalu.
Mendakwa tiada perkembangan mengenai kes itu selepas sebulan, keluarga terbabit membuat dua laporan polis berasingan, masing-masing pada 2 dan 4 Julai lalu bagi menuntut siasatan dibuat ke atas pihak sekolah dan tiga pelajar berada bersama anak mereka pada hari kejadian.
Pengarah Perundangan, Pendidikan dan Kebajikan Persatuan Hindu Agamam Ani Malaysia, Arun Dorasamy, mendakwa kes itu menimbulkan pelbagai persoalan termasuk kemungkinan kecuaian pihak sekolah, kelewatan rawatan kecemasan dan wujudnya usaha menutup kebenaran.
Katanya, persatuan terbabit dimaklumkan mengenai kematian pelajar berusia 17 tahun itu dipercayai kerana keracunan. Pun begitu, kata Arun, ada kemungkinan ia bukan punca kematian, sebaliknya disebabkan kelewatan mendapatkan rawatan yang sewajarnya.
"Kejadian berlaku pada jam 9.55 pagi dan diketahui guru pada jam 10:10 pagi dan mangsa dibawa ke bilik rawatan sekolah.
“Ketika itu mangsa tidak boleh bernafas, menjerit kesakitan dan tiada rawatan awal diberikan.
"Hanya lebih kurang 30 minit selepas itu ibu mangsa menerima panggilan, diberitahu anaknya pengsan melalui panggilan telefon dibuat dari pejabat sekolah oleh kawan-kawan mangsa.
"Pada jam 11 pagi barulah guru menelefon ayah mangsa memaklumkan anaknya pengsan dan keracunan.
“Apabila ayahnya sampai barulah dibawa ke hospital dan terserempak dengan ambulans yang dalam perjalanan ke sekolah. Ia mengambil masa sekitar dua jam dan mangsa telah meninggal dunia ketika itu," katanya pada sidang media di Petaling Jaya, semalam.
Turut hadir, peguam yang mewakili keluarga mangsa, S Vikram.
Bapa mangsa M Gopalan, 47, berkata apabila pihaknya merujuk kejadian yang menimpa anak perempuannya itu kepada pihak sekolah, guru-guru hanya memberi alasan “tidak tahu”.
"Pihak sekolah kata mereka tidak boleh bawa anak saya segera ke hospital kerana tidak dibenarkan SOP (operasi prosedur standard) sebaliknya hanya menghubungi ambulans," katanya.
Melalui laporan polis yang dibuatnya, Gopalan berkata, dia percaya kecuaian pihak sekolah menyumbang kepada kematian anaknya dan pelajar terbabit mungkin boleh diselamatkan dengan rawatan awal.
Justeru dia menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan mengikut Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-kanak 2001, Seksyen 304A Kanun Keseksaan, Seksyen 336 Kanun Keseksaan dan Seksyen 201 Kanun Keseksaan.
"Saya juga memohon agar pihak polis menjalankan siasatan menyeluruh terhadap semua pihak yang bertanggungjawab,” katanya.
Malaysiakini sedang menghubungi pihak pentadbiran sekolah serta polis untuk mendapatkan reaksi balas mereka.

