Kerajaan Kelantan merakam penghargaan atas tindakan pantas polis menggagalkan perjumpaan maksiat membabitkan kumpulan gay di Kota Bharu, pada bulan lalu.
Perkara itu dizahirkan Timbalan Menteri Besar, Mohamed Fadzli Hassan, yang menyifatkan kejayaan itu mencerminkan kesungguhan pihak berkuasa menjaga maruah agama, memelihara ketenteraman awam serta mempertahankan nilai hidup masyarakat yang berlandaskan syariat Islam.
Dia menegaskan kerajaan negeri tidak pernah mengiktiraf sebarang bentuk budaya songsang atau amalan yang bertentangan dengan Islam.
“Setinggi-tinggi tahniah kepada PDRM Kelantan atas tindakan pantas dan tegas menggagalkan penganjuran pesta maksiat melibatkan kumpulan gay di Kota Bharu.
“Amalan LGBT adalah satu kemungkaran nyata yang mencabar fitrah, merosakkan akhlak dan menggugat keharmonian sosial,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu media melaporkan kejayaan polis menyerbu perjumpaan kumpulan gay di sebuah rumah banglo di Kota Bharu, yang dipercayai disertai hampir 100 orang.
Serbuan yang dilakukan kira-kira jam 1 pagi pada pertengahan bulan lalu itu turut menemukan ratusan kondom dan ubat HIV. Operasi itu dijalankan hasil risikan dan maklumat awam.
Ketua Polis Kelantan, Mohd Yusoff Mamat, bagaimanapun berkata setika serbuan dilakukan, ada puluhan lelaki yang lain sudah pulang dan 20 lelaki berjaya ditahan. Mereka berusia antara 20 hingga 30 tahun.
Mohamed Fadzli berkata, dalam usaha membendung kemungkaran, kerajaan Kelantan menggubal dan menguatkuasakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 sebagai instrumen perundangan untuk menangani kesalahan syariah, termasuk perlakuan liwat, musahaqah dan perbuatan tidak bermoral lain.
“Walaupun enakmen ini pernah menghadapi cabaran perundangan, kerajaan negeri bertekad meneruskan usaha meminda dan memperkukuh peruntukan itu agar lebih berkesan dalam membendung kemungkaran dan menegakkan hukum Allah," katanya.
Bagi memperkukuh tindakan pencegahan dan penguatkuasaan pula, jelas Mohamed Fadzil, kerajaan negeri menubuhkan Jawatankuasa Menangani Gejala Sosial dan Maksiat yang membabitkan pelbagai agensi strategik.
“Jawatankuasa ini berperanan menyelaras pendekatan menyeluruh dan bersifat antara agensi dalam menangani keruntuhan moral dan tingkah laku menyimpang yang semakin berani menzahirkan diri dalam masyarakat.
“Pada masa sama, kami menyeru perajaan persekutuan khususnya Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil langkah tegas menyekat akses kepada platform aplikasi digital yang menyuburkan budaya maksiat dan penyimpangan seksual.
“Ruang digital tidak wajar dibiarkan menjadi medan tanpa kawalan yang merosakkan pemikiran dan akhlak masyarakat, khususnya golongan muda,” katanya.

