malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Amanat 3 tokoh: Ada ‘pengumuman besar’ dari Alor Setar?
Diterbitkan:  Jul 17, 2025 3:59 PM
Dikemaskini: 8:12 AM
ADS

Tiga tokoh utama pembangkang akan berkongsi pentas dalam “perhimpunan baju hitam bagi menuntut perubahan” di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar malam ini.

Harakahdaily membayangkan akan ada “pengumuman besar” daripada acara yang akan dihadiri oleh bekas perdana menteri Mahathir Mohamad, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin serta Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Ketiga-tiga mereka dilapor akan menyampaikan amanat masing-masing malam ini dalam stadium dengan kapasiti 4,682 orang itu.

“Tidak hanya menjadi saksi kepada ucapan-ucapan besar, malam ini turut mencatatkan sejarah apabila rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang tampil bersama menyuarakan tekad untuk melihat Malaysia yang lebih adil, bermaruah dan berdaulat.

“Dari bumi Kedah, gema perjuangan dan penyatuan rakyat mula bergetar ke seluruh negara di mana himpunan ini bukan sekadar peristiwa, tetapi permulaan kepada sebuah kebangkitan besar untuk masa depan tanah air tercinta,” menurut Harakahdaily.

Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin dan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor dijadual turut berucap.

Perhimpunan itu akan turut dihadiri anggota pelbagai NGO, antaranya Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Persatuan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia (PSSPGM), Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida),  Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen