malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pemuda Bersatu perlekeh kempen media sosial PKR untuk Anwar
Diterbitkan:  Jul 17, 2025 3:57 PM
Dikemaskini: 9:28 AM
ADS

Ahli Majlis Tertinggi Pemuda Bersatu (Armada), Ashraf Hayup Khan memperlekeh kempen media sosial yang digerakkan oleh PKR bagi meningkatkan imej Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di mata rakyat.

Menurut Ashraf, kempen itu menunjukkan betapa terdesaknya PKR dalam situasi dalaman parti yang semakin bergolak.

"Tindakan ini menunjukan bahawa tekanan politik dalaman PKR hampir sampai kemuncak. Mereka tidak dapat menahan tekanan yang diberikan oleh rakyat berkenaan kenaikan kos sara hidup, peluasan SST, kenaikan tarif elektrik dan yang terkini peranan Rafizi Ramli yang mengkritik kerajaan.

"Kerahan kepada ahli untuk memuatnaik gambar bersama perdana menteri adalah satu langkah ‘desperate’ dan menunjukan bahawa situasi sebagai retak menanti belah.

"Himpunan Turun Anwar pada 26 Julai ini akan mencipta gelombang baru kebangkitan rakyat Malaysia,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Semalam, Setiausaha Wanita PKR, Sangetha Jayakumar mengesahkan dia telah melancarkan satu kempen digital dalam kalangan ahli parti bagi menyusun semula persepsi awam terhadap Anwar.

Sangetha memberitahu Malaysiakini dia telah menghantar mesej WhatsApp kepada ahli parti — yang turut diperoleh oleh Malaysiakini — sebagai salah satu kempen digital yang diselaras bagi memobilisasi sokongan terhadap Anwar melalui media sosial.

Dia turut menjelaskan kempen ini tidak mempunyai kaitan dengan pengumuman kerajaan baru-baru ini bahawa rakyat Malaysia akan menerima satu “penghormatan luar biasa” tidak lama lagi.

Pada 14 Julai lalu, ratusan peguam menyertai perhimpunan anjuran Badan Peguam Malaysia di Putrajaya untuk menyerahkan memorandum kepada perdana menteri bagi menuntut kebebasan badan kehakiman.

Tindakan itu susulan kegagalan kerajaan menamakan pengganti selepas Tengku Maimun Tuan Mat bersara sebagai Ketua Hakim Negara, di samping dakwaan campur tangan kehakiman terhadap seorang hakim kanan.

Para peguam berkenaann mengemukakan empat tuntutan utama: mengisi kekosongan jawatan tertinggi badan kehakiman, mendedahkan minit mesyuarat terkini Jawatankuasa Pelantikan Kehakiman, menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat dakwaan campur tangan kehakiman, dan menyelesaikan isu kekosongan jawatan kehakiman secara keseluruhan.

Sebelum itu, sembilan ahli parlimen PKR yang diketuai Rafizi turut menggesa penubuhan RCI serta jawatankuasa khas parlimen berhubung reformasi bagi menyiasat dakwaan tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen