malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kematian Teoh: SPRM mohon maaf, tawar pampasan hantar isyarat salah – Bersih
Diterbitkan:  Jul 17, 2025 2:00 PM
Dikemaskini: 6:00 AM
ADS

Bersih mengkritik permohonan maaf terbuka dan tawaran pampasan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada keluarga mendiang Teoh Beng Hock, menegaskan ia boleh menghantar isyarat yang salah kepada orang awam.

Gabungan NGO pemantau demokrasi itu berkata usaha menyelesaikan tragedi kematian Teoh dengan cara sedemikian seolah-olah menggambarkan bahawa mereka yang berkuasa kebal daripada tanggungjawab jenayah atau tindakan undang-undang.

Sebaliknya, tegas Bersih, SPRM seharusnya mengambil langkah untuk memastikan pihak yang bertanggungjawab terhadap kejadian itu dibawa ke muka pengadilan, sambil menambah gabungan itu berkongsi pendirian keluarga Teoh bahawa permohonan maaf tersebut tidak disertai dengan keikhlasan sebenar.

“(Ketua Pesuruhjaya SPRM) Azam Baki dilihat sengaja mengelak daripada menyentuh isu pokok: pegawai-pegawai yang terlibat seperti yang disebut oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dan keputusan Mahkamah Rayuan, yang menyatakan bahawa kematian Teoh Beng Hock disebabkan oleh beberapa pegawai SPRM.

“Kami mencadangkan bahawa jika kerajaan atau SPRM benar-benar ikhlas dalam permohonan maaf mereka, langkah pertama yang perlu diambil ialah menggantung perkhidmatan pegawai yang masih berkhidmat sementara menunggu prosiding jenayah dijalankan.

“Kedua, bekukan pencen pesara-pesara yang terlibat dan salurkan keseluruhan jumlah itu sebagai sagu hati kepada keluarga mangsa atau untuk menampung keperluan hidup dan pendidikan anak mendiang Teoh,” menurut kenyataan Jawatankuasa Pemandu Bersih.

Kata Bersih lagi, pihaknya turut menyelar pelbagai penambahbaikan prosedur siasatan yang diumumkan oleh SPRM selepas kematian Teoh pada 2009.

Menurut gabungan itu, reformasi tersebut hanya boleh dianggap sahih sekiranya pegawai SPRM yang terlibat dalam tragedi itu dibawa ke muka pengadilan.

“RCI dan Majlis Peguam telah lama mendedahkan bahawa pegawai-pegawai SPRM yang terlibat disyaki memusnahkan dan mengubah bahan bukti serta bersekongkol dalam keterangan mereka.

“Dengan kata lain, tidak kira setinggi mana kecanggihan peralatan atau fasiliti yang dimiliki, selagi budaya kekebalan dalam agensi penguatkuasaan undang-undang tidak dihapuskan, mereka yang menyalahgunakan kuasa akan tetap mencari jalan untuk mengelak daripada bertanggungjawab, dan reformasi akhirnya akan hanya menjadi hiasan kosmetik atau retorik kosong semata-mata,” katanya lagi.

Sempena ulang tahun ke-16 kematian Teoh semalam, SPRM mengemukakan permohonan maaf terbuka buat pertama kali kepada keluarga mangsa atas penderitaan dan kesengsaraan yang dialami.

Dalam kenyataannya, Azam turut memaklumkan kesediaan agensi itu untuk memberikan “sumbangan ihsan” kepada keluarga Teoh, khususnya bagi menyokong kebajikan dan keperluan pendidikan anak tunggalnya.

Namun, keluarga Teoh dalam maklum balas pada hari sama menolak tawaran tersebut, berkata bmereka menuntut keadilan, bukan wang.

Pada tahun 2009, Teoh setiausaha politik kepada Exco Kerajaan Negeri Selangor ketika itu, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati selepas disoal siasat semalaman di pejabat SPRM Selangor yang ketika itu terletak di Plaza Masalam, Shah Alam.

Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) pada tahun 2011 memutuskan Teoh didorong untuk membunuh diri akibat soal siasat yang agresif. Namun begitu, pada tahun 2014, Mahkamah Rayuan memutuskan kematiannya disebabkan atau dipercepatkan oleh tindakan menyalahi undang-undang, termasuk oleh pegawai SPRM.

Pada 21 November tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan polis melengkapkan siasatan terhadap kematian Beng Hock dalam tempoh enam bulan.

Namun pada bulan Mei lalu, Jabatan Peguam Negara mengklasifikasikan kes tersebut sebagai “tiada tindakan lanjut” (no further action).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen