malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pemimpin DAP tunduk zahir hormat, sedih pada keluarga Beng Hock
Diterbitkan:  Jul 17, 2025 1:32 PM
Dikemaskini: 9:13 AM
ADS

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, bersama beberapa lagi pemimpin kanan parti itu tunduk sebagai tanda sedih, memohon maaf dan menghormati keluarga mendiang Teoh Beng Hock hari ini.

Loke juga merayu kepada keluarga Teoh agar memberi pertimbangan untuk menerima "sumbangan ihsan" yang ditawarkan kerajaan berhubung kematian yang berlaku pada 16 Julai 2009.

Selain Loke, turut tunduk sebagai tanda berdukacita hari ini ialah Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Teo Nie Ching; Pengerusi DAP Selangor, Ng Sze Han; dan bekas exco negeri itu, Ean Yong Hian Wah.

Teoh merupakan pegawai khas kepada Yong ketika dia meninggal dunia.

Loke bersama yang lain tunduk selama kira-kira satu minit pada penghujung sidang media yang diadakan di ibu pejabat parti berkenaan di Kuala Lumpur.

Loke berkata permohonan maaf terbuka oleh SPRM kepada keluarga Teoh semalam serta tawaran untuk memberikan sumbangan bagi membantu anaknya menunjukkan keikhlasan kerajaan Madani.

"Saya rasa ini sudah terlalu lama. Sejak 16 tahun lalu - seperti yang saya nyatakan sebelum ini - ini adalah kali pertama SPRM membuat permohonan maaf secara terbuka (mengenai kematian Teoh)," katanya.

Ditanya pandangan mengenai tindakan SPRM memohon maaf melalui ketua pesuruhjayanya, Azam Baki, semalam, Loke berkata, ia adalah tindakan yang wajar dilakukan agensi tersebut.

Loke yang juga menteri pengangkutan menegaskan, tawaran sumbangan ihsan tersebut diberikan tanpa sebarang syarat dan keluarga Teoh masih bebas untuk menuntut keadilan atas kematian dan bersuara mengenai kejadian berkenaan.

Walaupun keluarga Teoh sudah menolak tawaran SPRM semalam, Loke berkata, pihaknya masih merayu agar mereka mempertimbangkan semula keputusan tersebut.

Katanya tawaran sumbangan tersebut sama sekali bukan bermaksud kes berkenaan ditutup.

“Sumbangan ihsan itu adalah bantuan dan sumbangan daripada kerajaan kepada keperluan anak Teoh yang kini berusia 15 tahun.

“Ini adalah perkara yang kami harap keluarga Teoh boleh pertimbangkan, dan dengan penuh ikhlas, kami harap mereka boleh pertimbangkan,” katanya.

Loke turut menjanjikan sokongan berterusan DAP kepada keluarga itu, termasuk bantuan guaman untuk usaha mereka mencari keadilan.

Ditanya sama ada permohonan maaf SPRM kepada keluarga semalam adalah sebagai satu cara pengakuan bersalah agensi itu atau sebaliknya, Loke berkata dia akan membiarkan agensi antirasuah terbabit untuk menjawabnya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen