malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pemuda BN dijemput sertai demo bantah Nick Adams jadi duta AS ke M’sia
ADS

Pemuda PH mengajak Pemuda Umno-BN untuk turut serta dalam demonstrasi membantah pencalonan Nick Adams sebagai duta baru AS ke Malaysia, esok.

Ketua Penerangan Pemuda PKR (AMK), Danish Hairudin, berkata bantahan di hadapan Kedutaan AS itu juga bertujuan mendesak Washington menarik semula pencalonan Adams dan menggantikannya dengan individu yang lebih sesuai.

“Jemputan rasmi kepada Pemuda Umno dan BN untuk menyertai demonstrasi esok akan dibuat selepas ini.

“Himpunan esok bertujuan menggesa agar kerajaan AS menarik balik pencalonan Adams dan menamakan calon yang lebih profesional, sederhana, dan memahami kepentingan kestabilan rantau Asia Tenggara, bukannya individu kontroversi,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama Ketua Biro Antarabangsa Pemuda PKR, Arief Izuadin Ahmad Jefferi, wakil Pemuda Amanah, Mus’ab Muzahar; dan Iskandar Fareez (DAP).

Menurut Danish, Adams merupakan individu yang sering membuat kenyataan celopar, memecahbelahkan dan provokatif, serta tidak selari dengan norma masyarakat majmuk di Malaysia.

“Dia telah mengeluarkan kenyataan yang menyentuh sensitiviti Islam, menyokong secara terbuka rejim Zionis, serta mengutarakan pandangan yang merendahkan martabat wanita.

“Ini amat tidak wajar bagi seseorang yang akan mewakili AS ke Malaysia,” katanya.

Tambah Danish, AMK bimbang sikap dan pandangan seperti itu bukan sahaja berisiko menjejaskan hubungan dua hala antara Malaysia dan AS, malah turut berpotensi mencetuskan ketegangan yang tidak perlu di peringkat serantau.

Perhimpunan esok akan diadakan pada jam 2 petang di hadapan Kedutaan AS di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Himpunan itu akan menyaksikan penyerahan memorandum rasmi kepada pihak kedutaan.

Anggap lelaki alfa

Sementara itu, Danish berkata Pemuda PH juga akan mengadakan flash mob di hadapan McDonald’s Bukit Bintang malam ini sebelum himpunan kemuncaknya esok.

Katanya kawasan Bukit Bintang adalah tempat tumpuan orang ramai dan isu Adams bukan saja melibatkan Malaysia malah global serta menarik perhatian media luar.

“Jadi, kami lihat di situ (Bukit Bintang) sesuai untuk kami sebarkan mesej ini,” katanya.

Selain AMK, pencalonan Adams turut menerima bantahan daripada pelbagai pertubuhan masyarakat sivil, aktivis dan tokoh awam tempatan sejak namanya diumumkan oleh Presiden Donald Trump minggu lalu.

Adams, 40, warganegara dwikerakyatan Australia-AS merupakan personaliti media sosial, penulis dan menggambarkan dirinya sebagai “lelaki alfa".

Dia bakal menggantikan diplomat, Edgard Kagan, yang dicalonkan Presiden Joe Biden pada Mei 2023.

Adams terkenal dengan hantaran media sosial yang mempromosikan imej peribadinya berdasarkan stereotaip maskuliniti, serta kenyataan yang bersifat Islamofobia.

Dia juga secara terbuka menyokong Zionisme.

Bekas menteri kesihatan, Khairy Jamaluddin, sebelum ini turut berkongsi hantaran tahun lalu Adams yang mendakwa dia berjaya memecat seorang pelayan restoran yang memakai lencana Free Palestine.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen