Bekas timbalan setiausaha agung PKR Dr Sathia Prakash Nadarajan meminta kepimpinan parti untuk tidak mengambil tindakan disiplin terhadap pemimpin parti mereka yang berbeza pandangan dengan pendirian kerajaan.
Pandangan itu dilontarkan susulan beberapa pemimpin PKR dilihat tidak sehaluan dengan pendirian kerajaan, khususnya berhubung isu kehakiman, termasuk bekas timbalan presiden PKR Rafizi Ramli dan penggantinya Nurul Izzah Anwar.
Kata Sathia, PKR adalah sebuah parti sedia meraikan perbezaan pandangan.
"Ramai menganggap perbezaan pandangan di kalangan pemimpin PKR khususnya dengan keputusan kerajaan perlu diambil tindakan.
"Ini kerana politik negara kita jarang melihat, ahli partinya berbeza pendapat dengan ketuanya, lebih-lebih lagi ketika parti itu berada dalam kerajaan.
"Maka, ada anggota parti berasa keliru dan mendesak parti perlu ambil tindakan terhadap pemimpin-pemimpin ini," katanya kepada Malaysiakini.
Dia berkata demikian ketika mengulas gesaan anggota parti untuk tindakan disiplin ke atas pemimpin parti yang dilihat mempersoalkan keputusan kerajaan.
Rafizi bersama lapan ahli parlimen PKR lain baru-baru ini menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja (RCI) untuk menyiasat krisis pelantikan dalam badan kehakiman.
Susulan itu, sekumpulan ketua-ketua cabang menuntut Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh supaya mengambil tindakan penggantungan sementara terhadap sembilan ahli parlimen tersebut.
Setakat ini, 19 ketua cabang dari Johor dan 11 ketua cabang PKR dari Kedah menggesa penggantungan Rafizi dan lapan ahli parlimen itu kerana dituduh melanggar disiplin parti.
Pada masa sama, pengganti Rafizi bagi jawatan timbalan presiden, Nurul Izzah mengejutkan kepimpinan parti selepas menghadiri perhimpunan anjuran Majlis Peguam Malaysia berhubung badan kehakiman pada Isnin di Putrajaya.
Tindakan Izzah itu turut dikecam dan dilihat sebagai tidak sehaluan dengan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Mengulas lanjut, Sathia juga menolak desas-desus bahawa pucuk pimpinan parti akan mengambil tindakan disiplin terhadap pemimpin perbezaan pandangan dengan kerajaan.
"Saya petik kenyataan Saifuddin (Nasution), yang menegaskan PKR parti inklusif yang meraikan perbezaan pandangan.
"Kenyataan itu cukup jelas dan saya percaya tidak akan ada sebarang tindakan disiplin terhadap mana-mana pemimpin hanya kerana memberi pandangan masing-masing," katanya.

