Exco Selangor Ng Suee Lim hari ini berkata perbincangan masih diteruskan berhubung penswastaan operasi parkir atas jalan di empat pihak berkuasa tempatan negeri itu, dengan perjanjian muktamad dijangka ditandatangani Ogos ini.
Bercakap kepada pemberita di Shah Alam, Ng berkata, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) – atau MBI Selangor – sedang dalam peringkat akhir rundingan dengan anak syarikatnya, Rantaian Mesra Sdn Bhd (Rantaian Mesra), untuk melaksanakan sistem Selangor Intelligent Parking (SIP).
"Apabila tiba masanya pada 1 Ogos, mereka (MBI) akan membuat pengumuman," katanya.
Ng menjelaskan sistem parkir pintar itu melibatkan kerjasama tiga pihak iaitu kerajaan tempatan, Rantaian Mesra – yang akan bertindak sebagai penyelaras sistem – dan syarikat konsesi swasta yang akan mengendalikan operasi di lapangan.
“Pelaksanaan ini akan diformalasikan melalui perjanjian tiga pihak antara pihak berkuasa tempatan, Rantaian Mesra, dan syarikat konsesi bagi memastikan peranan, skop dan tanggungjawab setiap pihak ditakrifkan dengan jelas dan mematuhi amalan tadbir urus yang ditetapkan.
“Perincian mengenai aspek teknikal, kewangan, penguatkuasaan dan tadbir urus di kalangan ketiga-tiga pihak sedang dimuktamadkan dan dijangka ditandatangani pada 1 Ogos,” katanya.
Tambag Adun Sekinchan itu lagi langkah diambil kerajaan negeri itu membolehkan pengawasan yang lebih berkesan dibuat, selain memastikan projek itu kekal di bawah pemantauan Selangor.
Empat pihak berkuasa tempatan yang terlibat dalam inisiatif itu ialah Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).
Ng berkata, keempat-empat PBT itu pada dasarnya bersetuju dengan cadangan penswastaan namun mengakui masih ada ruang untuk penambahbaikan.
Dia menjawab kebimbangan yang timbil daripada langkah penswastaan tersebut termasuk kebimbangan pengurangan pendapatan untuk PBT.
Di bawah model yang dicadangkan itu, Ng berkata, syarikat konsesi terbabit dijangka melabur sebanyak RM200 juta untuk membangunkan infrastruktur SIP, termasuk pemasangan sekitar 1,800 kamera litar tertutup di zon letak kereta utama di empat PBT semasa fasa pertama.
Syarikat itu dijangka mendapat balik pelaburannya dalam tempoh tiga tahun.
“Dari segi kewangan, hasil tempat letak kereta akan dikongsi bersama oleh PBT, Rantaian Mesra, dan syarikat konsesi mengikut model dan fungsi kewangan masing-masing.
“Adalah penting untuk ambil perhatian bahawa PBT tidak akan menanggung sebarang kos operasi dan dijangka mengumpul lebih banyak hasil daripada sebelumnya ini disebabkan oleh peningkatan kecekapan sistem, pendigitalan dan pemantauan berpusat,” katanya.
Awal hari ini, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari turut mengulas perkara itu dengan berjanji untuk mengkaji semula kebimbangan yang dibangkitkan berhubung kutipan bayaran letak kereta penyumberan luar.
[Baca berita penuh]

