malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Ibu minta polis siasat kematian anak dari sudut lain
ADS

Ibu kepada seorang wanita yang meninggal dunia selepas jatuh dari tingkat enam sebuah kondominium di Sentul pada 2 Julai tetap mahu polis meneruskan siasatan terhadap kejadian tersebut.

Bercakap dengan Malaysiakini melalui telefon, A Laletha, 43, berkata dia sangat yakin kematian anaknya, Tavanes Vary Mohan, 20, masih diselubungi misteri.

"Saya mahukan keadilan untuk anak saya. Saya tak dapat melupakan apa yang berlaku kepada dia.

"Setiap hari saya berdiri di depan balai polis dengan linangan air mata.

"Perjuangan ini tidak akan berhenti sehingga anak saya mendapat keadilan," katanya dengan penuh kesedihan.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Ahmad Sukarno Mohd Zahari, dipetik sebagai berkata siasatan awal menunjukkan tiada sebarang unsur jenayah dalam kematian Tavanes.

Tavanes sedang mengikuti pengajian diploma dalam bidang kepolisan dan penyiasatan jenayah di sebuah kolej tempatan. Dia tinggal di salah satu unit di tingkat enam kondominium berkenaan.

Ia merupakan unit yang disewa oleh kolej terbabit sebagai asrama untuk pelajar mereka.

Mayat Tavanes ditemui di bahagian bawah kondominium berkenaan pada awal pagi oleh seorang penduduk yang kemudian memaklumkannya kepada pihak berkuasa.

"Kematian anak saya bukan sekadar kehilangan seorang pelajar, tetapi juga hancurnya sebuah harapan.

"Tiada ibu lain patut melalui pengalaman seperti ini. Tiada pelajar wanita lain harus mati dalam keadaan yang mencurigakan.

"Masyarakat mesti bangkit bersama menuntut kebenaran. Institusi pendidikan dan pihak berkuasa mesti bertindak dengan bertanggungjawab," kata Laletha.

Dakwa wanita terbabit, dia yakin mustahil untuk Tavanes jatuh begitu saja dari tingkat enam berkenaan selepas datang dari jauh ke Kuala Lumpur untuk mengejar impiannya.

"Apa yang berlaku menimbulkan persoalan - adakah ini satu kes bunuh diri atau ken bunuh?

"Kami minta pihak polis menyiasat lebih mendalam," katanya.

Sebelum ini, Ahmad Sukarno berkata siasatan masih diteruskan dan polis sedang mengumpul lebih banyak maklumat berhubung kematian Thavanes.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen