malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
RUU Akta Kebebasan Maklumat dibentang tak lama lagi
ADS

Rang Undang-undang (RUU) Akta Kebebasan Maklumat (FOI) dijangka dibentang di parlimen selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata pembentangan RUU tersebut adalah langkah penting bagi memperkukuhkan kepercayaan awam dan memberikan akses sebenar kepada masyarakat terhadap setiap keputusan kerajaan.

Katanya, langkah itu akan membolehkan rakyat mempertanggungjawabkan kerajaan atas sebarang keputusan selain membina keyakinan awam.

“Pembaharuan ini mencerminkan pendekatan kerajaan yang menyeluruh dan tekad kami membina institusi yang kukuh, adil dan telus, yang berkhidmat kepada semua rakyat Malaysia dengan penuh integriti," katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup Persidangan Antarabangsa Integriti dan Tadbir Urus di Putrajaya, hari ini.

Menurut Anwar, kerajaan juga dalam usaha meminda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 yang turut dijangka dibentang hujung tahun ini.

Katanya, ia bertujuan menyediakan perlindungan yang lebih menyeluruh kepada pihak yang membocorkan sesuatu maklumat berkepentingan awam.

"Ini termasuk memansuhkan pengecualian terdahulu yang mengehadkan perlindungan, serta menubuhkan Jawatankuasa Perlindungan Pemberi Maklumat yang bebas bagi memastikan pelaksanaan lebih berkesan," katanya.

Dapatkan pandangan ramai

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) M Kulasegaran sebelum ini mengumumkan RUU FOI akan dibentangkan menjelang akhir 2024.

Ia akan memberikan akses maklumat kepada semua rakyat dengan pengecualian untuk data peribadi, maklumat keselamatan negara, pertahanan dan juga hubungan diplomatik.

Prinsip utama di sebalik FOI ialah supaya orang ramai ada hak untuk mengetahui aktiviti pihak berkuasa bagi memastikan ia dilakukan secara telus, sekali gus mengukuhkan demokrasi, meningkatkan akses kepada maklumat, memperkasakan rakyat dan membina kepercayaan kepada kerajaan.

Sementara itu, dalam maklum balas segera, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, memaklumkan RUU FOI akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Oktober ini.

"Kita harap (selesai) pada sesi parlimen akan datang jika sesi kali ini tidak sempat. Insya-Allah sesi Oktober nanti akan dibentangkan.

"Semuanya berjalan dengan baik dan mengikut perancangan.

“Saya memang berharap ia dapat dilaksanakan sebab alau kita mahu laksanakan, kita kena panggil semua pihak, daripada badan bukan kerajaan (NGO), organisasi masyarakat serta parti-parti politik untuk terlibat.

“Kita akan lihat juga pandangan daripada jabatan-jabatan kerajaan kerana peranan Ombudsman adalah satu perkara yang akan ambil alih fungsi Biro Pengaduan Awam,” jelasnya.

Azalina Othman Said

Dalam perkembangan berasingan, Azalina berkata, kerajaan akan meneliti langkah menambah baik Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) 2009 bagi mengelak kekeliruan dalam proses pelantikan hakim di negara ini.

Katanya sejak akta itu dikuat kuasa pada 2009, tidak pernah timbul kekeliruan dalam prosedur pelantikan hakim.

“(Namun) Perlu diingat, Akta JAC ini diluluskan dan diwujudkan sejak 2009 dan sejak itu (diguna pakai) dalam pelantikan lima Ketua Hakim Negara, tak pernah timbul isu.

"Malangnya kini ia menjadi isu. Jadi kita kena kaji secara mendalam.

“Kita perlu melakukan penambahbaikan, sebab sekarang ini wujud banyak kekeliruan dan tiada kejelasan dari perspektif awam,” katanya.

Mengulas lanjut, Azalina berkata, penambahbaikan itu dilihat wajar bagi mengenal pasti punca kekeliruan dalam proses pelantikan hakim.

“Di mana puncanya kekeliruan atau ketidakjelasan ini? Adakah ia berpunca daripada prosesnya atau daripada istilah yang digunakan, contohnya nama JAC itu sendiri?

“Mungkin perkataan ‘pelantikan’ itu menimbulkan persepsi tertentu, saya pun tak pasti. Jadi kita perlu buat kajian,” katanya.

Azalina berkata, pihaknya akan mengumpulkan pandangan daripada pakar supaya perbincangan menyeluruh dapat dilaksanakan.

“Selepas itu, saya akan bawa perkara ini ke mesyuarat kabinet untuk diputuskan arah mana yang akan kita ambil,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen