"Dari sungai ke segara, Palestin pasti merdeka"
Jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil awal hari ini memetik frasa terkenal pro-Palestin ini apabila didesak oleh media mengenai Nick Adams - seorang pempengaruh Australia-Amerika yang pro-Israel - dicadangkan sebagai duta AS ke Malaysia.
Menteri Komunikasi itu pada mulanya tidak tahu sama ada kerajaan telah memutuskan jawapannya mengenai Adams, dengan mengatakan perkara itu masih belum dibincangkan dalam kabinet.
Fahmi berkata kabinet biasanya akan membincangkan pencalonan duta asing apabila mereka menerima memorandum daripada Kementerian Luar.
"Kita perlu tunggu...," katanya sebelum dihujani dengan pertanyaan lanjut sama ada Malaysia akan membantah jika pencalonan Adams dibuat.
Fahmi kemudian menjelaskan bahawa dalam diplomasi, mana-mana duta asing yang dicadangkan perlu diterima oleh negara tuan rumah dan seterusnya memetik frasa pro-Palestin.
“Begitu juga yang diamalkan dahulu apabila kerajaan kita mencalonkan atau mencadangkan utusan dihantar ke negara asing, ia perlu dipersetujui oleh negara tuan rumah.
“Dari sungai ke segara, Palestin pasti merdeka,” kata Fahmi.
Pada 11 Julai, Presiden AS Donald Trump mencalonkan Adams - seorang pempengaruh Australia-Amerika, pengarang, dan menggambarkan dirinya "lelaki alpha" - sebagai duta AS ke Malaysia.
Lelaki berusia 40 tahun itu akan menggantikan Edgard Kagan, seorang diplomat kerjaya yang dicalonkan oleh bekas presiden Joe Biden pada Mei 2023.
Adams terkenal kerana siarannya mempromosikan imej peribadi berdasarkan "simbol stereotaip kelelakian", serta membuat kenyataan Islamofobia.
Dia pernah bermegah di media sosial bahawa dia telah memecat seorang pelayan daripada kerjanya kerana dia memakai pin 'Free Palestine' pada pakaiannya.

