Anwar Ibrahim berkata, dia sudah menghadap serta mengadakan "perbincangan panjang" dengan Majlis Raja-Raja dan pengumuman siapa yang dilantik mengisi jawatan institusi kehakiman akan diketahui tidak lama lagi.
Perdana Menteri berkata dia yakin keputusan yang diambil itu nanti akan dapat menepis segala persepsi negatif terhadap kerajaan ekoran isu kekosongan jawatan tersebut baru-baru ini.
"Pagi ini (tadi) saya sudah berbincang panjang dengan Majlis Raja-Raja dan saya fikir biarlah mereka yang membuat keputusan, dan esok mudah-mudahan akan ada satu pengumuman yang akan menolak semua persepsi negatif terbabit.
"Insya-Allah, apabila pengumuman dibuat nanti, ia akan membuktikan bahawa kerajaan ini - kerajaan Madani - memang benar-benar komited kepada reformasi, termasuk prinsip kebebasan badan kehakiman," katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup Persidangan Antarabangsa Integriti dan Tadbir Urus di Putrajaya, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, dia mengakui wujud kebimbangan dalam isu kelewatan pelantikan ketua hakim negara, selain menimbulkan persepsi kononnya beberapa pelantikan ke jawatan penting dalam institusi kehakiman mungkin terjejas.
Tak pernah bincang kes mahkamah
Bagaimanapun, Anwar memberi jaminan perkara itu tidak akan berlaku.
“Saya boleh beri jaminan kepada anda, perkara ini tidak berlaku.
“Saya yakin rakan-rakan saya dalam bidang guaman akan menghormati hakikat bahawa kita mesti bekerja berdasarkan undang-undang dan fakta, bukan persepsi, dan biarkan isu persepsi itu kepada ahli politik, kerana hanya dengan cara itu kita boleh terus mentadbir,” katanya.
Tegas Anwar, kerajaan memang komited mahu memastikan kebebasan badan kehakiman dihormati.
"Perkara itu tidak berlaku, saya tidak mahu mereka (Badan Peguam) pula datang dan berkata: tidak, tidak, anda buat keputusan itu kerana berada di bawah tekanan," katanya.
Menurut Anwar lagi Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia (Undang-undang dan Reformasi Institusi, Azalina Othman Said dan Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar tahu apa yang berlaku.
Tambah perdana menteri, tiada sebarang nama yang kontroversi atau terlibat dengan sesuatu kes dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong atau Majlis Raja-Raja.
Justeru, Anwar sekali lagi menegaskan kerajaannya komited kepada reformasi, termasuk prinsip kebebasan badan kehakiman.
"Selepas lebih dua setengah tahun saya memegang jawatan, saya tak pernah membincangkan sebarang kes dengan mana-mana hakim.
"Bukan saja dengan ketua makim, malah mana-mana hakim lain. Saya berpegang teguh kepada prinsip kebebasan kehakiman," katanya.
Sementara itu, Anwar turut memberi jaminan bahawa tiada campur tangan dalam isu kehakiman negara, ini termasuk kes yang melibatkan dirinya.
“Saya berpegang pada prinsip kebebasan kehakiman. Tetapi sudah tentu ada kebimbangan yang disuarakan, dan saya mesti mengambil maklum tentangnya,” katanya.

