GLOBAL | Pelari maraton veteran Britain, Fauja Singh, maut dalam kemalangan jalan raya kampung kelahirannya di Punjab, India pada usia 114 tahun, lapor PA Media dan dpa.
Menurut laporan media tempatan di India, Fauja dirempuh kereta ketika cuba melintas jalan di Beas Pind berhampiran bandar Jalandhar semalam.
Akibat kemalangan itu dia mengalami kecederaan parah yang kemudian meragut nyawanya.
Kelab larian Fauja yang berpangkalan di London, Sikhs In The City, mengesahkan kematian pelari terbabit dan memaklumkan mereka akan mengadakan acara di Ilford, timur London bagi memperingati pencapaian dan legasi mendiang.
Fauja - yang menetap di Ilford sejak 1992 - mencipta nama dengan memecahkan beberapa rekod larian maraton dalam pelbagai kategori umur dan menjadi inspirasi kepada ramai atlet apabila dia terus aktif walaupun selepas melepasi usia 100 tahun.
Menurut profil di laman rasmi Olimpik, dia dilahirkan pada 1 April 1911 di Punjab dan merupakan anak bongsu daripada empat beradik dalam sebuah keluarga petani.
Selepas kematian isterinya, Gian Kaur, di Jalandhar Fauja beliau berhijrah ke England dan menetap di timur London bersama anak lelakinya.
Fauja hanya mula menyertai dunia larian secara serius pada 2000 ketika berusia 89 tahun.
Maraton pertama yang disertainya ialah di London dengan catatan masa enam jam 54 minit — sekali gus memecahkan rekod dunia terdahulu bagi kategori usia 90 tahun ke atas dengan perbezaan 58 minit.
Dia kemudiannya menyertai pelbagai lagi larian maraton, termasuk Maraton Toronto Waterfront 2003 yang disempurnakannya dalam masa lima jam 40 minit yang juga rekod peribadi terbaiknya.
Pada 16 Okt 2011 di Toronto, Fauja dipercayai menjadi manusia pertama berusia lebih 100 tahun yang berjaya menamatkan larian maraton.
Dia turut menjadi pembawa obor sempena Sukan Olimpik London 2012, sebelum bersara daripada dunia larian pada usia 101 tahun.
- Bernama/dpa

