Kerajaan telah mengambil langkah untuk menangani kebimbangan yang kian meningkat berhubung kebebasan badan kehakiman, dengan memperincikan perlindungan sedia ada yang diperuntukkan undang-undang.
Ia susulan perarakan yang dianjurkan Badan Peguam Malaysia semalam bagi mempertahankan kebebasan badan kehakiman.
“Kerajaan ingin menjelaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan mekanisme yang jelas untuk menangani salah laku hakim,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said dalam kenyataan, hari ini.
Dia berkata Perkara 125(3) dan (4) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan tribunal khas bagi menyiasat dakwaan salah laku.
Menurutnya, hakim yang sedang disiasat boleh digantung tugas atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Ketua Hakim Negara.
“Selain itu, Perkara 125(3A) memperuntukkan kuasa kepada Ketua Hakim Negara untuk merujuk sebarang pelanggaran etika kepada Jawatankuasa Etika Kehakiman yang ditubuhkan di bawah Akta Jawatankuasa Etika Hakim 2010 (Akta 703).
“Perkara 125(3B) pula membolehkan penetapan kod etika bertulis bagi menetapkan piawaian tinggi kelakuan dan integriti hakim
“Judges’ Code of Ethics 2009 [P.U. (B) 201/2009], yang telah berkuat kuasa sejak 1 Julai 2009, turut menjadi rujukan penting untuk menetapkan standard tingkah laku hakim secara jelas dan berlandaskan undang-undang,” kata Azalina dalam kenyataan hari ini.
Dia berkata rangka kerja etika itu wujud untuk memastikan badan kehakiman benar-benar bebas daripada sebarang pengaruh luar atau politik.
Berhubung kebimbangan yang dibangkitkan oleh Badan Peguam Malaysia, Azalina berkata kerajaan mengambil perhatian terhadap isu tersebut dan mengulangi komitmen untuk menanganinya secara bertanggungjawab dan telus.
Dia menegaskan bahawa Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri telah ditugaskan untuk mengkaji dan membandingkan sistem pelantikan kehakiman, satu penyelidikan yang bertujuan untuk meningkatkan ketelusan dalam sistem yang digunakan Malaysia untuk melantik hakim Mahkamah Tinggi.
“Kajian ini bertujuan untuk memberikan kejelasan yang lebih baik mengenai peranan Jawatankuasa Pelantikan Kehakiman (JAC) dan pada masa yang sama menangani beberapa isu yang telah dibangkitkan oleh Badan Peguam Malaysia.
"Kerajaan sentiasa terbuka untuk mendengar semua pihak berkepentingan termasuk Badan Peguam Malaysia, yang juga akan dijemput untuk mengambil bahagian dalam kajian ini, bagi memastikan sistem pelantikan kehakiman yang lebih telus dan berintegriti," kata Azalina.
Badan Peguam Malaysia berarak di Putrajaya semalam dalam usaha mempertahankan integriti kehakiman, di tengah-tengah kebimbangan mendalam tentang kebebasan kehakiman.
Kumpulan itu menamatkan perhimpunan mereka selepas menyerahkan memorandum dengan empat tuntutan, iaitu mengisi kekosongan jawatan tertinggi kehakiman, mengeluarkan minit mesyuarat JAC baru-baru ini, membentuk suruhanjaya siasatan diraja untuk menyiasat dakwaan campur tangan kehakiman, dan menangani kekosongan keseluruhan kehakiman.

